Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 termasuk 5 pegawai polis ditahan proses ketum

Lima pegawai polis dan seorang orang awam ditahan ketika sedang memproses minuman ketum di sebuah rumah di Alor Gajah malam tadi.

Ketua Polis Melaka Zainol Samah berkata kesemua lelaki yang terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga pegawai rendah polis serta orang awam itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira 11.30 malam.

Katanya mereka yang ditahan itu berusia antara 31 hingga 55 tahun.

Menurut Zainol hasil serbuan pasukan JIPS Bukit Aman terbabit turut merampas 5.2 liter cecair ketum yang dipek ke dalam beberapa botol dan dibungkus dengan plastik.

Katanya sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta satu besen juga dirampas.

"Semua pegawai polis yang ditahan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai polis terlibat dengan pelanggaran disiplin yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap nama baik PDRM.

"Operasi sebegini akan terus dijalankan oleh PDRM dalam membersihkan sebarang anasir yang tidak baik daripada terus merebak agar pegawai polis yang menjadi gunting dalam lipatan yang boleh menjejaskan kredibiliti serta keyakinan masyarakat kepada PDRM diambil tindakan sewajarnya," kata Zainol satu kenyataan hari ini.

Dia berkata permohonan reman terhadap semua lelaki terbabit akan dibuat hari ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(2) Akta Racun 1952.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS