Thailand bentang RUU larang ganja untuk suka-suka minggu depan
Kerajaan Thailand akan segera membentangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk mengharamkan penggunaan rekreasi ganja, kata menteri kesihatannya Cholnan Srikaewpada.
Langkah terbaru ini selepas Thailand mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik yang diharamkan pada Jun 2022 di bawah kerajaan terdahulu.
Cholnan dipetik AFP berkata RUU baru itu akan dicadangkan kepada mesyuarat kabinet minggu depan.
“Undang-undang yang sedia ada akan dipinda bagi membenarkan penggunaan ganja adalah untuk kesihatan dan perubatan sahaja.
“Penggunaan ganja untuk suka-suka adalah salah," katanya lagi pada Selasa (6 Feb).
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin selalu menyuarakan bantahannya terhadap penggunaan ganja atas tujuan rekreasi, menjelaskan ia sepatutnya digunakan untuk kegunaan perubatan sahaja.
Pada hujung minggu lepas, warga maya Thai memberikan tekanan di media sosial selepas menghadiri konsert kumpulan rock British Coldplay mendakwa keseluruhan konsert itu berbau ganja.
Pada Jun 2022, ganja dikeluarkan dari senarai dadah terlarang di bawah pimpinan kerajaan lepas termasuk parti pro-legalisasi kanabis, Bhumjaithai.
Tindakan ini menyebabkan kemunculan ratusan dispensari ganja di seluruh negara, lebih-lebih lagi di Bangkok.
Ia mencetuskan kebimbangan pengkritik yang menggesa penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
/file/1320/7242631d8e1c905a892c30634b786e69.jpeg)
