Kerajaan P Pinang perlu terima hakikat, kata Pemuda MCA
Pemuda MCA menggesa kerajaan Pulau Pinang “cakap serupa bikin” dan membuktikan keupayaan mereka memimpin dengan menyediakan jaringan pengakutan yang cekap.
Naib Ketua Pemuda MCA, Tan Yan Pang, berkata jika sebelum ini DAP - yang mengetuai kerajaan negeri - sering membangkitkan kegagalan pentadbiran kerajaan terdahulu, kini adalah masa untuk mereka membuktikan keupayaan sendiri.
"Memandangkan Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) juga memegang portfolio menteri pengangkutan, maka pasti tiada masalah untuk kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah menambah baik jaringan pengangkutan awam di negeri itu.
"Alasan lama iaitu 'kami bukan kerajaan pusat' tidak lagi boleh dipakai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tan, Pemuda MCA juga berharap kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah memperbaiki imej Bukit Bendera yang sebelum ini pernah disenaraikan sebagai 'perangkap pelancong' terburuk di Asia oleh media luar negara.
"Reaksi kerajaan negeri terhadap laporan tersebut pada masa itu amat mengecewakan.
"Kerajaan Pulau Pinang dilihat cuba mengelak tanggungjawab dengan memperlekehkan laporan tersebut sebagai tidak tepat," katanya lagi.
Tan merujuk kepada laporan sebuah portal berita yang mempersoalkan tanda pagar #PenangElokDah di media sosial kerana didakwanya tidak sesuai dengan reliti di negeri itu.
Melalui artikel itu, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Mohd Hazmi Mohd Rusli, berkata dia telah beberapa kali melancong ke Pulau Pinang dengan memandu sendirian serta menggunakan kemudahan pengangkutan awam.
"Apabila seseorang meletakkan diri sebagai seorang pelancong yang menggunakan kemudahan pengangkutan awam, Pulau Pinang tidaklah seelok kata tanda pagarnya.
"Pertama sekali, apabila seseorang pelancong itu terbang ke Pulau Pinang, lapangan terbangnya walaupun selesa, tidak menjanjikan pengalaman yang baik dari segi ketersambungannya dengan pusat kota George Town yang terletak lebih kurang 20km jaraknya.
"Perkhidmatan LRT/MRT sememangnya tidak wujud di George Town, kota yang dianggap kedua atau ketiga terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur mahupun Johor Bahru.
"Bagi sebuah destinasi yang popular, tidak wujud perkhidmatan bas yang langsung menghubungkan lapangan terbangnya dengan kota George Town," katanya menerusi artikel yang disiarkan di portal berkenaan.
Selain itu, katanya, perkhidmatan bas berhenti-henti sememangnya lambat dan tidak efektif dengan kekerapan yang menyedihkan iaitu sekitar 30 minit hingga 45 minit.
Dia kemudian membaningkan kemudahan di situ dengan Lapangan Terbang Senai di Johor Bahru yang menyediakan perkhidmatan bas bagi menghubungkan penumpang langsung dari Senai ke JB Sentral.
Mengulas lanjut, Tan berharap sikap kerajaan negeri terhadap isu berkenaan berubah dan menjadi lebih profesional serta matang.
"Terimalah hakikat bahawa tiada manusia sempurna. Belajarlah untuk menerima teguran dan berubah ke arah yang lebih baik, bukannya terus bersikap sombong dan angkuh," katanya lagi.
Selain itu, Tan berkata projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama yang bernilai RM6.3 bilion juga dilihat menghantui kerajaan Pulau Pinang.
"Apa gunanya berbelanja berbilion ringgit untuk projek mega seperti ini, tetapi jaringan pengangkutan di kawasan bandar, dan ke kawasan tarikan pelancongan seperti Tapak Warisan Unesco pula tidak dikendalikan dengan baik?
"Lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri Pulau Pinang bergantung harap kepada industri pelancongan untuk hasil negeri," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/02/1f448def11da46475fee91405df51cd9.jpg)
