Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tol percuma pada 8, 9 Februari sempena Tahun Baru Cina
Diterbitkan:  Feb 7, 2024 11:20 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada semua kenderaan persendirian pada 8 dan 9 Februari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, pemberian tol percuma itu bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina. 

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya yang bermula  pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari (Khamis) dan akan berakhir pada  jam 11.59 malam, 9 Februari (Jumaat) di mana implikasi kewangan  dianggarkan berjumlah RM42.99 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Nanta berkata pengecualian tol itu meliputi semua kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol  Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim. 

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin  berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun  Baru Cina kali ini,” katanya.

Dia berkata, pelaksanaan pemberian tol percuma ini diharapkan dapat dimanfaatkan pengguna lebuh raya dengan merancang perjalanan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

"Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta," katanya.

Nanta turut menasihatkan pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch 'n Go serta eWallet adalah mencukupi.

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook : Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.


 


Lihat Komen
ADS