Islam yang diperjuangkan PAS memberi jaminan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum, kata presiden parti itu, Abdul Hadi Awang.

Dalam perutusan ringkas dalam empat bahasa - Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil - sempena sambutan Tahun Baru Cina, dia berkata, perkara itu berjaya dibuktikan di bawah pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Gambar Hiasan - Hadi semasa meraikan Tahun Baru Cina 2023

"Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru kepada semua kaum Cina di Malaysia.

"Semua kita mahukan negara Malaysia yang sejahtera, di mana masyarakat hidup harmoni, aman dan saksama. Kepelbagaian kaum dan bangsa diraikan sebagai tanda kebesaran Allah dan merupakan fitrah kejadian manusia.

"Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah memberi jaminan keadilan, keamanan dan kesejahteraan hidup untuk semua kaum dan agama di negara ini. 

"PAS berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya," katanya.

Menurut Abdul Hadi, di negeri-negeri yang dikuasai PAS, terbukti bahawa kebebasan beragama kepada penganut agama lain tidak dihalang. Malah, katanya, tidak ada rumah-rumah ibadat dirobohkan dan kegiatan ekonomi tidak disekat.

Gambar Hiasan - Masyarakat Cina di Kuala Terengganu

“Bahkan orang bukan Islam hidup aman dan sejahtera di bawah pentadbiran PAS dengan diberikan hak kebebasan beragama dan bermasyarakat.

"Dalam hidup bermasyarakat majmuk ini, kita juga hendaklah saling mengenali budaya antara satu sama lain, saling kunjung mengunjungi dan saling hormat menghormati, supaya kita terus hidup dengan suasana yang penuh harmoni dan gembira. 

"Saya sendiri terus belajar tentang budaya dan amalan kaum-kaum lain di Malaysia. 

"Justeru itu, harapan saya sempena perayaan Tahun Baru Cina ini agar perpaduan kaum di Malaysia terus dieratkan dan diperkukuhkan," katanya lagi.