Kumpul hak hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyelar kehadiran ramai ramai anggota dan pegawai polis pada sidang media anjuran Bersih yang menggesa pembaharuan semalam.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraimsamy, dalam satu kenyataan hari ini, mengulangi kenyataan Bersih yang menggelar insiden itu sebagai intimidasi.

"10 pegawai polis, dua trak polis, dan beberapa motosikal polis ditempatkan di luar pejabat Bersih untuk sidang media yang semata-mata menggesa pelaksanaan  reformasi yang telah lama dijanjikan.

"Ini bukan untuk menegakkan ketenteraman awam. Sebaliknya, ia adalah ugutan yang mesti dikecam.

"Adakah ini bermakna netizen yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan akan menyusul selepas ini, atau diarahkan memadamkan hantaran mereka, akaun media sosial dipantau atau lebih teruk lagi, disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998?" soal Sevan.

Semalam, Bersih mengecam dakwaan ugutan polis selepas anggotanya dikesan ditempatkan di ibu pejabat badan pemantau pilihan raya itu.

Mengulas lanjut, Sevan menyoal sama ada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyedari polis memantau sidang media itu.

Dia seterusnya membidas tindakan polis yang menjadikan  bekas ahli parlimen Damansara Tony Pua sebagai sasaran dengan arahan ke Bukit Aman untuk disoal siasat  berhubung sindirannya terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.

Sevan Doraimsamy

Menurut Sevan, kedua-dua insiden itu menunjukkan ketidakupayaan kerajaan untuk menerima kritikan membina, perbezaan pendapat, malah rasa tidak puas hati.

“Melalui taktik ini, kerajaan telah melakukan pengkhianatan tiga kali ganda: selain gagal mempertahankan perjuangannya menentang rasuah dan keadilan, ia juga telah melanggar kewajipannya untuk menegakkan hak asasi manusia, terutamanya buat mereka yang menuntut ketelusan dan akauntabiliti awam,” katanya.

[Baca berita penuh]