Ramai pelanggan dijangkan akan kembali ke rangkaian makan segera KFC jika saiz hidangan dan harga diturunkan kepada nilai yang lebih munasabah.

Facebook bekas perdana menteri Najib Razak berkata peningkatan harga yang mendadak menjadi punca orang ramai menjauhkan diri dari KFC.

Najib berpendirian demikian walaupun ramai beranggapan ia mempunyai kaitan dengan kempen boikot terhadap syarikat itu ketika serangan Israel terhadap Hamas.

"Ramai yang sedar bahawa KFC Malaysia adalah milik Johor Corp iaitu syarikat kerajaan negeri Johor.

"Tetapi masalahnya ialah harga KFC telah naik tinggi sejak tahun 2018 selepas SST (cukai jualan dan perkhidmatan) ganti GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

"Ramai juga yang dakwa saiz ketul ayam sudah kecil.

"Rasanya ramai pelanggan akan pulang sekiranya saiz hidangan dan harga diturunkan ke harga lebih munasabah," katanya.

Facebook Najib memaklumkan harga makanan, Snack Plate naik dari RM12.50 pada tahun 2017 ke RM20.99 sekarang. 

Harga Dinner Plate pula, katanya, naik dari RM15.90 ke RM25.99 ketika ini.

Sementara itu, KFC juga memasang kain rentang di setiap premisnya yang tertera tulisan "KFC anak syarikat JCorp".

Pemasangan kain rentang itu dipercayai sebagai usaha meyakinkan pelanggan bahawa KFC bukanlah entiti yang mempunyai hubung kait dengan Israel.

Selain KFC, banyak lagi rangkaian makanan segara yang terjejas seperti Mc Donald's dan Starbucks.