Pulau Pinang mohon pembenihan awan di Empangan Air Itam
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah meminta bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di Empangan Air Itam di George Town dengan segera, bagi meningkatkan kapasiti efektif empangan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya K Pathmananthan berkata pihaknya secara rasmi telah menulis surat kepada SPAN pada 2 Feb lepas, bagi membantu dalam merancang dan melaksanakan operasi pembenihan awan pada Mac depan (musim antara monsun).

“Menerusi surat rasmi itu, kami meminta Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, untuk membantu dalam merancang dan melaksanakan operasi pembenihan awan bagi menyokong usaha PBAPP, meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam.
“Kami telah menyatakan bahawa operasi pembenihan awan penting bagi PBAPP, untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air berterusan di Air Itam, bagi manfaat kira-kira 30,000 pengguna air termasuk pengguna domestik dan bukan domestik.
“Kami juga telah memaklumkan kepada SPAN bahawa operasi pembenihan awan pada Mei dan Jun 2023, telah menyumbang kepada jumlah hujan sebanyak 30.5mm di kawasan tadahan Empangan Air Itam dan Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam, tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga pagi ini, kapasiti efektik Empangan Air Itam menunjukkan 32.8 peratus, manakala 85.1 peratus bagi Empangan Teluk Bahang dan 90 peratus bagi Empangan Mengkuang.
Pathmanantan berkata PBAPP sedang menunggu maklum balas SPAN, untuk memulakan perbincangan awal berhubung cadangan operasi pembenihan awan.
Sementara itu, beliau berkata PBAPP akan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri pada minggu ini, untuk melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024), yang menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam secara beransur-ansur, dengan melaksanakan beberapa tindakan.
“Antaranya mengurangkan pelepasan air dari empangan daripada aliran masuk purata air mentah ke dalam empangan setiap hari, purata aliran masuk ke empangan ialah 15 juta liter sehari (JLH) dan PBAPP hanya akan melepaskan 11 JLH untuk disalurkan kepada LRA Air Itam,” katanya.
Pathmanantan berkata PBAPP juga akan mengekalkan aliran masuk sebanyak 6 JLH daripada muka sauk utama dan muka sauk tat ke LRA Air Itam, serta akan mengepam 33 JLH air terawat ke dalam kawasan perkhidmatan LRA Air Itam dari Rumah Pam Padang Brown.
“Air terawat itu datangnya dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai dan kejayaan AIDAP 2024, bergantung kepada beberapa faktor iaitu aliran masuk harian sebanyak 15 JLH air mentah ke dalam Empangan Air Itam dari muka sauk Balik Pulau, muka sauk aliran sisi dan muka sauk Sungai Pinang Barat.
“Selain itu, ia juga bergantung kepada aliran masuk harian sebanyak 6 JLH air mentah ke LRA Air Itam dari muka sauk utama dan muka sauk tat. PBAPP memohon bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan, bagi mendorong hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air untuk lima muka sauk yang terlibat,” katanya.
- Bernama
/file/985/bc948989e809808f545b9e8d1c1fd9eb.jpg)
