Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS menganggap hari ini sebagai "Jumaat yang hitam"selepas 16 daripada 18 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan sah terbatal oleh keputusan mahkamah tertinggi negara.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga berkata keputusan 8-1 di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini "mengancam" enakmen jenayah syariah lain.

"Jumaat yang hitam kepada syariah Islam, kepada undang-undang Islam... itu yang boleh kita (PAS) gambarkan.

"Saya sebagai peguam, kita tahulah apabila sesuatu undang-undang jenayah syariah satu (enakmen) negeri dibatalkan, bermakna undang-undang jenayah syariah Islam di negeri lain, di 14 buah negeri lain berada dalam keadaan berbahaya dan kritikal," katanya ketika ditemui media di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menambah jika ada mana-mana individu di negeri lain didakwa - misalnya - atas kesalaha liwat lalu mereka merujuk kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan, pertuduhan berkenaan boleh dibatalkan.

Dia juga menganggap bahawa "tidak ada orang yang boleh dituduh di mahkamah syariah atas kesalahan jenayah syariah."

Terdahulu Takiyuddin menyertai beberapa ratus orang berhimpun di kawasan kompleks mahkamah berkenaan bagi menunggu keputusan panel sembilan hakim yang mendengar cabaran perundangan ke atas enakmen terbabit.

Ia dilakukan seorang peguam kelahiran Kelantan, Nik Elin Nik Abdul Rashid, dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat membenarkan permohonan tersebut secara keputusan majoriti. Satu-satunya hakim yang tidak sependapat dengan lapan yang lain ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

PAS beri komitmen sokong

Pasangan ibu dan anak itu mencabar keabsahan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Bagaimanapun, mahkamah tertinggi hanya membenarkan 16 daripada 18 peruntukan yang dimohon mereka.

Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).

Di sebalik menerima 16 permohonan pasangan anak-beranak itu mahkamah bagaimanapun menolak cubaan mereka membatalkan dua lagi peruntukan dalam enakmen sama.

Nik Elin Nik Abdul Rashid bersama Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Takiyuddin berkata ini keputusan dibuat di mahkamah hari nii bukan perkara kecil kerana ia melibatkan aspek mempertahankan syariah Islam serta institusi Raja-raja Melayu.

"Ini bukan benda kecil, mempertahankan syariah, mempertahanakn institusi Raja-raja yang menjadi ketua kepada agama Islam bagi negeri, Yang di-Pertuan Agong ketua agama Islam Wilayah Persektuan bagi negeri tak ada raja.

"Jadi ini kami mempertahankan syariah, mempertahankan institusi Raja-raja Melayu," katanya lagi.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, pula menggesa kerajaan Persekutuan meminda perlembagaan bagi melindungi perundangan syariah di negara ini.

"Cuma paling penting kita nak kerajaan percepat pindaan perlembagaan kerajaan, (sebab) sudah dua majoriti dua per tiga (di parlimen), kerajaan tak perlu kepada (undi) pembangkang lagi.

"Kerajaan boleh buat satu rang undang-undang yang baru untuk memberi lebih kuasa melindungi undang-undang syariah.

"Kita memberi komitmen untuk menyokong," katanya.

Pengerusi Bersama Gerakan Selamat Syariah, Mohd Zai Mustafa, pula berkata pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berhubung keputusan hari ini.

Selain itu, katanya, dia akan menjelajah ke seluruh negeri bagi memberi penjelasan serta mengatur perancangan bagi "mempertahankan sistem perundangan syariah."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS