Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan lulus vaksin Qdenga untuk demam denggi
Diterbitkan:  Feb 11, 2024 12:04 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Ketua Pengarah Kesihatan Radzi Abu Hassan megumumkan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada vaksin denggi Qdenga keluaran syarikat Takeda untuk digunakan bagi individu berumur 4 tahun dan ke atas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Radzi berkata mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-393 memberi kelulusan bersyarat itu setelah berpuas hati dengan hasil penilaian ke atas keberkesanan, keselamatan dan kualiti produk yang dijalankan.

Namun, kenyataan tersebut tidak memberitahu bila jangka masa vaksin tersebut akan tersedia di semua kemudahan kesihatan awam.

"Melalui pendaftaran bersyarat ini, pihak pemegang pendaftaran produk (PRH) perlu mengemukakan data pemantauan keberkesanan dan keselamatan vaksin QDENGA® dari semasa ke semasa setelah ia digunakan di pasaran Malaysia.

"Ini membolehkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membuat pemantauan berterusan ke atas kedua-dua aspek tersebut untuk memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin Qdenga ini kekal positif," katanya.

Vaksin tersebut dikilangkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun Takeda GmbH di Jerman, bersama Takeda Malaysia Sdn Bhd sebagai pemegang PRH di Malaysia.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan 86.3 peratus kes denggi pada 2023.

Sebanyak 123,133 kes denggi telah dilaporkan pada tahun lalu berbanding 66,102 kes bagi tempoh sama pada tahun 2022.

Sebanyak 100 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 56 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS