Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan terima laporan ancaman bom di Menara MBJB

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung ancaman bom di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Bukit Senyum, di Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata siasatan telah dijalankan.

"Ada (laporan ancaman bom), dalam siasatan. Harap bertenang dan jangan panik.

"Keadaan terkawal, tiada terkesan objek yang mencurigakan di seluruh 22 tingkat Menara MBJB," katanya ketika dihubungi pemberita.

Sementara itu, Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman, dalam satu kenyataan, memaklumkan ancaman bom yang diterima pihaknya adalah palsu.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan bahawa ancaman itu palsu dan mengesahkan Menara MBJB adalah selamat untuk beroperasi.

"Menara MBJB yang menempatkan lebih 500 kakitangan kini telah beroperasi semula mengikut waktu pejabat. Kesemua mereka telah dibenarkan untuk kembali semula ke pejabat jam 2 petang tadi," katanya.

Terdahulu, menurut Mohd Noorazam pihaknya menerima satu e-mel mengandungi unsur ancaman bom daripada individu yang mendakwa dirinya bernama Takahiro Karasawa ([email protected]) pagi tadi.

Beliau berkata susulan penerimaan e-mel tersebut, MBJB telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

"Arahan pengungsian bangunan dan berkumpul di lokasi menunggu telah dikeluarkan kepada seluruh anggota MBJB dan orang awam di Menara MBJB sekitar jam 12 tengah hari ini sehingga pemeriksaan dilaksanakan oleh pihak PDRM," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS