Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
TPM: Pemergian Taib satu kehilangan besar
Diterbitkan:  Feb 21, 2024 9:34 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud sebagai kehilangan yang besar kepada Sarawak dan negara.

Dalam catatan di Facebook hari ini, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak itu.

“Sedih dan dukacita di atas perginya negarawan, Ayahanda Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud, bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak dan bekas Ketua Menteri Sarawak, awal pagi ini di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Pemergian Almarhum adalah satu kehilangan besar bukan sahaja buat Sarawak, malah juga negara.

"Almarhum juga pernah berkhidmat sebagai menteri di peringkat Persekutuan sebelum kembali ke Sarawak. Ya Allah, Ya Tuhanku...ampunilah dia,” katanya.

Turut merakamkan ucapan takziah adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia khususnya rakyat Sarawak kerana Allahyarham memainkan peranan yang cukup penting dalam mentadbir dan memacu kejayaan Negeri Sarawak sehingga kini.

“Terlalu banyak kenangan saya bersama Allahyarham. Beliau merupakan seorang yang mudah didekati dan sentiasa istiqomah menyantuni masyarakat. Semoga Allah SWT menerima segala amal baktinya dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan insan soleh serta beroleh jannah,” kata Ahmad Zahid.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi ini.

Pengurusan jenazah Allahyarham akan dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching, Sarawak untuk dikebumikan.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS