Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi: Kabinet rakam takziah pada keluarga Taib Mahmud
Diterbitkan:  Feb 21, 2024 10:07 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Jemaah menteri hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi hari ini.

Jurucakap Kerajaan Madani Fahmi Fadzil berkata Allahyarham yang juga bekas ketua menteri Sarawak mempunyai banyak jasa terhadap pembangunan dan permodenan negeri tersebut.

“Sudah pasti kesan daripada pentadbiran dan tempoh beliau sebagai Yang Dipertua Negeri memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan dan permodenan Sarawak sehingga apa yang kita lihat hari ini.

“Pemergian Allahyarham sudah pasti cukup mendukakan dan hiba….penting juga untuk kita kenang jasa bakti Allahyarham,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio di Kuala LUmpur hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Minggu Perpaduan 2023 yang diadakan di Kuching pada Mei tahun lepas adalah acara terakhir beliau bertemu dengan Tun Abdul Taib.

“Saya lihat Allahyarham keuzuran tapi beliau tetap gagah teruskan kerja pada waktu itu,” katanya.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi ini.

Pengurusan jenazah Allahyarham akan dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan.

- Bernama


Lihat Komen
ADS