Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Raja-raja Melayu berangkat ziarah jenazah Taib Mahmud

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat tiba di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba pada 12.15 tengah hari itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Keberangkatan pemangku Raja Perlis dengan diiringi Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tengku Muhammad Fakhry meluangkan masa sekitar 15 minit sebelum jenazah dibawa ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Abdul Taib.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

“Allahyarham seorang tokoh yang telah membawa impak cukup besar dan akan sentiasa dikenang, terutamanya oleh rakyat Bumi Kenyalang. Al-Fatihah,” menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pula mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa selain ditempatkan bersama-sama para syuhada serta orang-orang yang beriman.

Sultan Selangor turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang besar jasanya kepada negeri Sarawak dan Malaysia.

"Allahyarham juga telah memberikan komitmen dan kerjasama penuh semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja sepanjang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak," menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal hari ini.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada Sarawak dan negara. 

"Semoga Allah SWT menerima segala amal baktinya, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan Allahyarham bersama para solehin dan beroleh jannah-Nya," menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi Kesultanan Pahang. 

Allahyarham dibawa dengan van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari Masjid Negara pada 12.30 tengah hari.

Beberapa kenderaan yang dinaiki ahli keluarga Allahyarham turut mengiringi van jenazah ke lapangan terbang, sebelum jenazah dibawa menaiki penerbangan ke Sarawak pada 1 tengah hari.

Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak, pada 3.30 petang sebelum dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Sarawak, untuk penghormatan terakhir.

Ahli keluarga Allahyarham juga difahamkan mengelak dari bertemu media yang berada di Masjid Negara.

Antara ahli keluarga yang hadir adalah Mahmud Abu Bekir Taib, Jamilah Taib Murray dan Hanifah Hajar Taib.

Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara untuk dimandikan pukul 9.11 pagi, selepas selesai urusan di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke Sarawak.

Solat jenazah dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain serta kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Turut hadir Pengerusi Muafakat Nasional, Annuar Musa dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS