Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi tiada di parlimen kerana buat rawatan susulan di T'ganu
Diterbitkan:  Feb 26, 2024 6:03 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir pada istiadat pembukaan sidang parlimen hari ini kerana perlu mengikuti sesi rawatan susulan di Terengganu.

Setiausaha Politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, berkata keadaan kesihatan presiden PAS itu tidak mengizinkan untuk dia hadir bersama ahli parlimen lain.

Syahir yang juga ahli parlimen Bachok berkata, Abdul Hadi kini dalam fasa pemulihan daripada masalah kesihatannya.

"Kesihatan tuan guru (Abdul Hadi) tidak mengizinkan, (dia) masih dalam tempoh pemulihan dan ada beberapa rawatan susulan di Terengganu," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Keberadaan Abdul Hadi menjadi perhatian apabila dia tidak kelihatan di kerusinya ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menyampaikan titah diraja pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur pagi tadi.

Turut berangkat ke Dewan Rakyat tadi ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Ketiadaan Abdul Hadi kemudian mendapat reaksi negatif daripada sesetengah warga maya dengan sesetengah mereka melakukan hasut maya (troll) terhadap ahli parlimen Marang itu.

Menurut Syahir, keuzuran Abdul Hadi memang diketahui lebih awal oleh pihak parlimen.

"Surat dan sijil cuti sakit hospital telah dihantar kepada Tan Sri Speaker (Johari Abdul) semalam untuk makluman," katanya lagi.

Sementara itu portal berita FMT melaporkan, doktor menasihatkan Abdul Hadi agar tidak membuat sebarang perjalanan jarak jauh, justeru mempunyai keuzuran syarie.

Memetik kata-kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, kesihatan Abdul Hadi dikatakan memang dalam keadaan tidak begitu baik.

“Dia uzur syarie, dia sakit banyak…dia (juga) ulang alik IJN (Institut Jantung Negara), macam-macam sakit.

"Doktor nasihat dia supaya tidak berjalan jauh,” katanya seperti dilaporkan FMT.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS