Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesihatan Shafee tak mengizinkan, perbicaraan Najib hari ini dikosongkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar kes 1MDB membabitkan Najib Razak mengosongkan perbicaraan penuh hari ini ekoran keadaan kesihatan peguam utama bekas perdana menteri itu tidak mengizinkan.

Semasa prosiding terbuka di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini, salah seorang peguam bela Najib, Tania Scivetti, memaklumkan peguam kanan terbabit, Muhammad Shafee Abdullah, tidak sihat dan akan berjumpa doktornya hari ini.

Justeru Tania mengemukakan permohonan kepada Sequerah untuk mendapatkan penangguhan.

Sequerah: Ada apa dengan dia (Shafee)?

Tania: Dia berasa tak sihat. Dia ada beberapa masalah (kesihatan). Dia mengalami rasa berdebar-debar sedikit, sebab itulah dia agak bimbang hari ini, dan memutuskan untuk berjumpa dengan doktornya hari ini.

Ahmad Akram Gharib selaku timbalan pendakwa raya kemudian memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya dan pasukan pembelaan bersetuju agar tarikh penggantian dan tarikh perbicaraan tambahan ditetapkan pada 14 hingga 15 Mac, 27 Mac, dan 1 hingga 5 April.

Sequerah kemudian membenarkan perbicaraan hari ini dikosongkan dan disambung esok, serta menetapkan lapan tarikh tambahan untuk perbicaraan kes itu.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.27 bilion milik 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib yang jug abekas menteri kewangan dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS