Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hanya 1 dari 97 syarikat tersenarai milik Bumiputera sejak 3 tahun lalu'

Hanya satu daripada 97 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia sejak tiga tahun lalu dimiliki oleh Bumiputera.

Sambil menyuarakan kebimbangannya, Pengerusi Bursa Malaysia, Abdul Wahid Omar berkata, angka tersebut mencerminkan penyertaan sebenar Bumiputera dalam sektor perniagaan.

"Ini berikan kita satu wake up call. Inilah situasi sebenar. Syarikat yang disenaraikan Bursa ni ialah gambaran sebenar penyertaan Bumiputera dalam sektor perniagaan.

"Jadi kita perlu bertanya, kalau dah enam dekad, melaksanakan pelbagai dasar pemerkasaan bumi dan hasilnya pada hari ni, tak capai sasaran kita selama ni, kenapa?" tegasnya ketika berucap di Kongres Ekonomi Bumiputera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Wahid, yang juga bekas menteri kabinet berkata punca utama ‘kegagalan’ tersebut ialah kerana dasar melibatkan Bumiptera lebih tertumpu kepada sektor awam dan bukan sektor swasta.

"Sektor awam mungkin sumbang sebahagian daripada ekonomi negara kita, tapi masih berubah. Ada penyertaan besar sektor swasta.

"Dalam konteks ekonomi kita, dalam GDP kita, sektor awam hanya sumbang 17.8 peratus kepada ekonomi kita. Swasta sumbang 76.2 peratus.

"Sektor swasta 4.3 kali lebih besar daripada sektor awam,"katanya.

Justeru Wahid menyeru pendekatan yang lebih universal dalam memperkasakan Bumiptera.

Pelaksanaan tersebut, katanya, harus meliputi syarikat-syarikat yang mendapat manfaat daripada kontrak-kontrak konsesi dari kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta lain.

Dia juga sekali lagi menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Akta Peluang Saksama berdasarkan keperluan untuk memastikan semua warganegara mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan yang adil.

Dia menekankan keperluan akta tersebut digubal berikutan kekayaan dan penguasaan korporat di kalangan bumiputera masih rendah berbanding bukan bumiputera.

Mengenai apakah kerajaan wajar menghapuskan lantikan politik dan memberi tumpuan kepada pelantikan berdasarkan merit, Wahid mengelak daripada memperkatakan hal tersebut.

Sebaliknya, dia berkata tiga kriteria diperlukan iaitu integriti, daya saing, dan kerendahan hati bagi seseorang yang dilantik ke jawatan itu.

“Tak kira dia allignment political ke mana, janji dia ada tiga ciri ni, insyallah...

"Realitinya, kita tidak boleh mengharapkan kerajaan melantik ahli pembangkang untuk menjalankan sesebuah syarikat, itu tidak realistik.

"Jadi kepentingan mesti selaras. Selagi mereka mempunyai tiga kualiti ini, tiada masalah," tambah beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS