Dana RM1 bilion untuk usahawan Bumiputera melalui GLIC - PM
Kerajaan akan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion kepada usahawan Bumiputera yang akan dikendalikan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dana itu bagi melahirkan generasi baru usahawan bumiputera dalam bidang berpertumbuhan tinggi.
Dia berkata demikian ketika berucap pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.
"Dana RM1 bilion ini bertepatan dengan hasrat dan syor yang dihujahkan semasa Kongres ini berlangsung iaitu untuk mewujudkan sebuah Dana Pemacu Transformasi Bumiputera.
"Kita mampu mencipta lebih banyak syarikat usahawan Bumiputera berjaya seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron.
"Kita juga harus berbangga dengan kejayaan Les Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif," katanya.
Tabung Wakaf Mara Madani
Anwar turut mengumumkan kerajaan bersetuju mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.
Tabung tersebut yang akan diterajui oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Mara (YPM) selaras dengan hasrat penubuhan agensi tersebut, kata Anwar.
"Sukacita saya memaklumkan anak-anak kita daripada persatuan-persatuan alumni Mara dan pimpinan Mara telah menggesa ada rencana wakaf yang bukan sahaja memerlukan huluran dana kerajaan tapi mengajak rakyat yang dulunya dari kelompok yang paling miskin, yang diberikan peluang dan berlakunya mobiliti sosial terangkat kedudukan mereka sebagai profesional dan peniaga.
"Maka, dengan ini saya umumkan penubuhan Wakaf Mara Madani dan geran pelancaran sebanyak RM100 juta dengan maksud dalam tempoh dua tahun terkumpul minima RM1 bilion," katanya.
Katanya lagi, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkenan untuk menjadi penaung tabung wakaf tersebut.
Tambahnya lagi, wakaf Mara Madani ini akan memberi manfaatkan kepada lebih 70.1 peratus penerima bumiputera untuk memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan, keusahawanan dan pengangkutan.
Dana tersebut akan dikembangkan dan hasil pelaburan yang terkumpul akan digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan melalui program sosial anjuran YPM sebagai Mutawalli (pengurus) wakaf yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp.
Kata Anwar, melalui Belanjawan Madani 2024 kerajaan telah menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta untuk membangunkan tanah-tanah wakaf terbiar.
"Bagi memanfaatkan tanah-tanah wakaf terbiar, Belanjawan Madani 2024 telah menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakan untuk membangunkan tanah-tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan serta dapat menyediakan rumah-rumah mampu milik," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/03/d3a41f39708a146bf60c32b58a6da35e.jpg)
