Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 Adun Bersatu nafi akan ikut Rashid sokong Amirudin
Diterbitkan:  Mar 6, 2024 9:58 PM
Dikemaskini: Mar 9, 2024 4:49 AM

Empat Adun Bersatu Selangor berikrar untuk terus berdiri di belakang ketua pembangkang, Azmin Ali, serta berjanji taat setia dengan gabungan PN.

Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor berkata mereka mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan pihak tertentu yang mengaitkan mereka dengan langkah menyokong kerajaan.

Pada sidang media yang disiarkan laman Facebook PAS Selangor, Azmin memanggil empat Adun Bersatu yang didakwa akan berpaling tadah sebagai membuktikan tuduhan tersebut tidak benar.

"Antara yang dinamakan ialah Jeram (Harisson Hassan), Sungai Kandis (Wan Dzahanurin Ahmad), Batang Kali (Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani), dan Dengkil (Jamil Salleh).

"Mereka semua di sini, jangan layan benda-benda macam ni," katanya.

Sidang media itu diadakan tidak lama selepas Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari, mengumumkan dia kini menyokong kepemimpinan Amirudin Shari selaku menteri besar.

Abdul Rashid merupakan bekas pengerusi Bersatu Selangor dan pernah menjadi exco negeri itu semasa PH menjadi kerajaan negeri.

Sebab sokong MB

Mengulas tindakan Abdul Rashid, Azmin berkata Adun terbabit adalah pengkhianat kerana mengetepikan mandat yang diberikan pengundi Selat Kelang dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

"Sudah tentu, kami Adun PN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang diambil, ini adalah satu perbuatan khianat, tindakan yang tidak bertanggungjawab kepada mandat yang diberikan oleh rakyat," katanya di Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Ditanya apakah tindakan lanjut akan diambil ekoran langkah mengejut Abdul Rashid, Azmin berkata, undang-undang dan perlembagaan parti akan dijadikan rujukan mereka.

Abdul Rashid Asari

Tindakan itu, katanya, diambil sebagai memberi keadilan kepada semua pihak.

Sebelum ini, seorang lagi Adun Bersatu Selangor, Dr Afif Bahardin, turut menafikan khabar angin ada empat lagi wakil rakyat parti itu akan menyuarakan sokongan mereka terhadap Amirudin.

Menurut portal Harapan Daily, empat Adun terbabit sudah membuat keputusan untuk berpaling tadah atas alasan mereka 'dibuli' oleh Azmin, selain demi kesejahteraan pengundi masing-masing.

Ketika mengumumkan keputusannya hari ini, Abdul Rashid menyebut beberapa sebab yang membawa dia menyokong pentadbiran Amirudin.

“Langkah ini adalah keputusan sukarela di pihak saya, tanpa sebarang paksaan, selepas mempertimbangkan dengan teliti titah titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri dalam memacu kemajuan untuk negeri dan rakyatnya,” katanya.

Abdul Rashid juga merujuk kepada sikap berdiam diri PN, khususnya di peringkat negeri, berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap raja-raja Melayu, yang disifatkannya bertentangan dengan prinsip yang dipegang oleh orang Melayu-Islam.

Lihat Komen
ADS