Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Ramai dah mula hilang keyakinan pada Bersatu
Diterbitkan:  Mar 9, 2024 6:06 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semakin ramai orang sudah hilang keyakinan kepada pembangkang terutama Parti Bersatu selepas beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian menyokong kerajaan.

Mengulas kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar Kerajaan Persekutuan untuk mengisytihar enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri dikosongkan, Anwar berkata perkara itu terpulang kepada Ahli Parlimen serta Adun terbabit.

"Orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu terutamanya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Polis Diraja Malaysia di Bukit Mertajam hari ini.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Adun yang terbabit pula ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Ketika berucap pada majlis itu, Anwar berkata beliau mahu anggota polis melipatgandakan lagi usaha mereka melindungi rakyat dan negara khususnya dalam membela nasib wanita serta kanak-kanak.

"Semalam kita menyambut Hari Wanita dan golongan wanita masih mengeluh tentang jenayah gangguan seksual.

"Saya akan bertindak tegas tanpa tolak ansur untuk menyelamatkan rakyat dan negara kita ini. Saya minta kerjasama anggota polis supaya lebih tangkas dan jangan jadikan negara ini tempat yang rosak kerana akhlak yang rendah," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta yang diluluskan segera bagi kerja-kerja pembinaan kuarters polis di Seberang Jaya yang sedang berjalan dan RM500,000 bagi pembinaan surau di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sebagai usaha meningkatkan keselesaan serta kebajikan anggota pasukan keselamatan itu.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

- Bernama

Lihat Komen
ADS