Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekolah vernakular akan diteruskan, kata menteri pendidikan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kerajaan mengambil pendirian untuk terus mengekalkan sekolah vernakular yang diiktiraf di bawah Akta Pendidikan.

Dalam sidang media hari ini, Fadhlina berkata, dia mengambil maklum ramai pihak memberi pendapat mengenai isu sekolah berkenaan.

Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan

"Kita mendengar pandangan tersebut tetapi untuk hari ini, pendirian kita adalah untuk berdiri tegak dan juga memperkukuhkan Akta Pendidikan.

"Sekolah vernakular juga diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan kita akan teruskan," katanya kepada pemberita di sebuah sekolah di Puchong, ketika pelajar memasuki hari pertama persekolahan bagi sesi 2024/2025.

Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Akmal Saleh, Ketua Pemuda Umno

Akmal sebelum ini menegaskan kepentingan menyuburkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar di samping meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Melayu.

Gesaan Akmal supaya sekolah vernakular dikaji semula mencetuskan perdebatan hangat di kalangan ahli politik di negara ini mengenai pendirian kerajaan terhadap kewujudan sekolah berkenaan.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berkata sekolah vernakular tidak seharusnya dipersalahkan sebagai punca perpecahan kaum.

Ketua Pemuda Umno itu kemudiannya mempertahankan pendiriannya dengan mengatakan bahawa sekolah vernakular tidak mencerminkan wawasan "Bangsa Malaysia" dan membidas Ramasamy dengan mengatakan “Kamu mabuk ke apa?”.

Ungkapan "Mabuk ke?" biasa digunakan orang Melayu untuk merujuk seseorang yang keliru atau melakukan perbuatan yang tidak munasabah.

Namun ungkapan yang sama juga boleh menjadi stereotaip perkauman yang biasa digunakan terhadap kaum India.

November lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Supang Lian sebulat suara menolak rayuan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan tiga lagi NGO yang mencabar kewujudan sekolah berkenaan.

Tiga lagi perayu ialah Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Semasa membacakan keputusannya, hakim Azizul Azmin Adnan menegaskan bahawa para penggubal Perlembagaan Persekutuan telah berhasrat sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular sebelum Merdeka akan terus beroperasi dengan sah di sisi undang-undang selepas merdeka pada 1957.

Azizul berkata ini tercermin dalam Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan dan melindungi penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS