Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu stoking: Pemuda minta maaf lepas dapat ‘nasihat’ geng silat 
Diterbitkan:  Mar 19, 2024 2:12 PM
Dikemaskini: Mar 21, 2024 9:36 AM

Seorang lelaki dari Cheras, Kuala Lumpur tampil memohon maaf secara terbuka setelah didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Dia membuat permohonan itu dengan dikelilingi sekumpulan lelaki yang mencarinya sebelum ini kerana tidak berpuas hati dengan komennya.

"Saya minta maaf terhadap hantaran di Facebook saya kepada semua orang Islam.

"Saya mengakui kesalahan dan berharap seluruh umat Islam boleh memaafkan saya. 

“Saya janji tidak akan (membuat) komen tentang agama lain," kata pemuda dalam video pendek kira-kira lima minit di Facebook miliknya.

Dalam video sama dia dia antaranya ditemani oleh individu dikenali sebagai Tok Panglima Aduka. 

Mengaku tidak mewakili mana-mana pihak, dia mungkin anggota sebuah pertubuhan silat, berdasarkan maklumat di Facebooknya.

Tok Panglima Aduka juga memberi nasihat kepada lelaki terbabit supaya tidak mengulangi perkara itu dan menekankan keagungan nama Allah bagi umat Islam.

Dia mencetuskan kemarahan pengguna maya selepas didakwa mengeluarkan komen meminta orang ramai tidak terlalu sensitif dengan itu itu. 

Dia malah didakwa cuba membuat kelakar dengan memuat naik gambar stoking yang memuatkan wajahnya sendiri.

Namun, posting berkenaan telah dipadam.

Individu dicekup 

Sementara itu maklumat peribadi lelaki terbabit juga kini disebarkan meluas di media sosial, termasuk alamat dan nombor telefonnnya oleh pihak yang tidak berpuas hati.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung stoking putih tertera kalimah Allah yang dijual pada harga RM6.99 sepasang di KK Mart.

KK Mart membuat permohonan maaf atas kesilapan itu dan menarik balik jualannya.

Bagaimanapun selain berdepan gesaan boikot, Pemuda Umno pula menganggap permohonan maaf itu tidak cukup dan KK Mart harus menaikkan kain rentang mohon maaf di semua 881 cawangannya.

Kes itu kini dalam siasatan polis.

Sementara itu, seorang peguam yang berpangkalan di Batu Caves Nor Zabetha Muhamad Nor

 pula memuat naik gambar penahanan seorang pemuda oleh polis kerana didakwa membuat hantaran menghina Islam susulan isu sama.

Lelaki itu dikatakan memuatkan pandangan bahawa perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu, tetapi menggunakan perkataan agak keras.

"Isu 3R ini, memang tiada kompromi. “Tidak boleh hina bangsa dan agama orang lain," tulis Nor Zabetha.

Lihat Komen
ADS