Paling Popular
Terkini
  • Dikemas kini dengan tambahan penjelasan pegawai Dzulkefly berkaitan kenyataan menteri kesihatan.


Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan generasi penamat (GEG) dalam penggunaan tembakau dan vape tidak berjaya kerana terdapat isu perlembagaan, bukan kerana pengaruh pelobi.

Dzulkefly berkata demikian selepas timbalannya Lukanisman Awang Sauni mendedahkan wakil industri bertemu dan mempengaruhi anggota parlimen sebelum perbahasan rang undang-undang.

Dzulkefly bagaimanapun berkata kenyataan itu tidak tepat.

“Namun persoalan yang dibangkitkan, dan saya kira agak tidak wajar adalah melanjutkan pengaruh itu yang dikatakan industri dan juga pelobi mempengaruhi kerajaan dan kabinet.

"Itu saya kira adalah salah, salah pada fakta dan salah pada ucapan timbalan menteri kerana saya semak perkara itu," kata Dzulkefly kepada Dewan Rakyat hari ini.

Pegawai Dzulkefly bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa menteri kesihatan merujuk kepada tanggapan yang salah, bukan kenyataan timbalannya.

Mengulas lanjut, menteri itu berkata, pengguguran dibuat kerana teguran dan pendirian Pejabat Peguam Negara berhubung isu Perlembagaan yang menyebabkan kerajaan bertindak sedemikian.

“Kita mahu GEG itu, namun ketika dibangkitkan dalam kamar (Pejabat) AG, persoalan isu Perlembagaan telah menjadi besar, itu sebab kerajaan menambil sikap tidak bawa GEG bersekali dalam akta tersebut.

“...hanya itu, tidak ada kena mengena dengan pelobi, tidak ada kena mengena dengan apa-apa pun yang dianggap dan ditanggap persepi di luar sana,” katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda – Muar) berkaitan kenyataan Lukanisman pada parlimen minggu lepas.

Terdahulu kenyataan Lukanisman menimbulkan kebimbangan sebuah persatuan pengguna berpengaruh yang antaranya mahu tahu sejauh mana “penyusupan” dan “pengaruh” pelobi terhadap parlimen.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) justeru menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat pengaruh pelobi industri tembakau dan vape dalam menghapuskan peruntukan generasi penamat (GEG) daripada undang-undang kawalan produk rokok.

Pada 14 Mac lalu, ketika mendedahkan pengaruh itu, Lukanisman meminta sokongan semua ketika berdepan “tekanan” daripada pihak industri.

Menjawab satu lagi soalan tambahan Syed Saddiq mengenai garis masa pelaksanaan peraturan baharu terhadap industri vape dan bahan-bahan terlarang seperti nikotin, Dzulkefly berharap ia dapat dilaksanakan pada Jun tahun ini.

“Kita akan usahakan dan pasukan sedang bekerja keras untuk menyelesaikannya lebih awal berbanding tarikh akhir,” katanya.

Berhubung pelan untuk mengawal selia industri vape dan bahan terlarang, Dzulkefly berkata kawalan terperinci meliputi pendaftaran, penjualan dan pembungkusan produk itu telah dirangka dalam peraturan yang dijangka dikuatkuasakan serentak dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, yang telah diluluskan bulan lepas namun belum berkuat kuasa.

Lihat Komen
ADS