Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembekal stoking minta maaf lagi, naikkan kain rentang
Diterbitkan:  Mar 20, 2024 2:08 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Syarikat pembekal KK Mart sekali lagi memohon maaf kerana mengedarkan stoking bertulis kalimah Allah kepada kedai serbaguna itu.

Kali ini, Xin Jian Chang Sdn Bhd menyatakan permohonan itu melalui kain rentang yang dinaikkan di pagar kilang mereka Batu Pahat, Johor.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian berkaitan sarung kaki yang memaparkan perkataan sensitif yang tidak disengajakan,” tulis mereka.

Xin Jian Chang juga menyatakan komitmen untuk memastikan sensitiviti masyarakat berbilang agama terjaga, keharmonian terpelihara dan meningkatkan kawalan kualiti produk mereka.

Tindakan itu dilakukan selepas bantahan meluas sejak seminggu lalu termasuk kecaman parti politik dan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.

Polis juga semalam memeriksa 18,000 pasang stoking di sebuah kilang di Johor semalam, tetapi tidak mendedahkan namanya.

Demo depan kilang semalam

Sementara itu, Oriental Daily melaporkan terdapat kumpulan NGO mengadakan bantahan di kilang itu semalam yang menuntut penggantungan kain rentang itu.

Selain itu, mereka juga mahu pengurusan syarikat merakam permohoan maaf dan menyiarkannya di media sosial.

Mereka juga menuntut syarikat menderma untuk kebajikan sekitar Batu Pahat seperti rumah anak yatim dan sekolah agama.

Oriental Daily juga melaporkan operasi kilang itu diberhentikan buat sementara waktu susulan isu keselamatan.

Lihat Komen
ADS