Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua pihak patut sokong titah Sultan Pahang, kata Mufti PP
Diterbitkan:  Mar 23, 2024 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Semua pihak harus menyokong titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang mengingatkan supaya masjid tidak digunakan sebagai medan berpolitik serta mengkafirkan pihak yang tidak menyokong parti tertentu.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata masjid merupakan tempat beribadah serta pusat umat Islam memupuk perpaduan justeru tidak wajar ia dijadikan sebagai gelanggang politik demi mendapatkan sokongan terhadap parti tertentu.

“Jika ini dibenarkan, maka ia akan memecah-belahkan masyarakat Islam di samping mencemarkan kesucian masjid.

"Nak berpolitik buatlah di luar masjid, jangan gunakan rumah Allah untuk tujuan politik kepartian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Wan Salim berkata tiada siapa boleh mengkafirkan mana-mana individu yang tidak menyokong parti tertentu kerana parti politik adalah ciptaan manusia berdasarkan ijtihad yang boleh jadi betul atau salah.

Katanya pandangan itu disokong oleh hadis yang melarang mengkafirkan seseorang yang bersolat mengadap ke arah kiblat (Kaabah) dan makan haiwan yang disembelih dengan menyebut nama Allah.

“Kecuali, jika seseorang melakukan perbuatan yang jelas menunjukkan kekufurannya seperti menyembah berhala, memaki Allah atau rasul-Nya atau memijak al-Quran, tetapi jika seseorang tidak menyokong parti tertentu maka kita tidak boleh nengkafirkannya,” katanya.

Al-Sultan Abdullah dalam satu rakaman video sebelum ini menitahkan masjid di Pahang supaya mengharamkan penyakit-penyakit lama, seperti solat dua imam dan kafir-mengkafir.

Baginda juga mahu kesucian masjid dijaga dengan tidak menjadikan rumah ibadat itu sebagai medan berpolitik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS