Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KK Mart, pembekal stoking diheret ke mahkamah esok

KK Mart dan salah seorang bekas pembekalnya dijangka didakwa dimahkamah esok berhubung stoking tertera kalimah 'Allah'.

Malaysiakini difahamkan bahawa selain dua syarikat itu, pertuduhan juga akan dikenakan terhadap dua individu dari KK Mart, dan tiga daripada pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Salah seorang wakil KK Mart yang dijangka akan didakwa, dipercayai pengasas syarikat Chai Kee Kan, lebih dikenali sebagai KK Chai.

Pihak dari KK Mart dan Xin Jian Chang akan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana melukakan perasaan agama orang lain.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Selain itu, difahamkan bahawa pihak dari Xin Jian Chang akan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.

Seksyen 109 menyatakan bahawa hukuman untuk bersubahat dengan jenayah, melainkan dinyatakan, adalah sama dengan kesalahan sebenar.

Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Sebelum ini dua individu telah dipenjara enam bulan dan masing-masing didenda RM12,000 dan RM15,000 kerana komen menghina isu berkenaan.

Dua minggu lalu, stoking tertera kalimah 'Allah' ditemui di kedai KK Mart, yang mengundang kecaman dan gesaan boikot.

Susulan itu, laporan polis beramai-ramai telah dibuat.

Salah seorang yang menerajui kempen laporan polis dan gesaan boikot ialah Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

KK Mart dan Xin Jian Chang telah memohon maaf atas kejadian itu, dan mendakwa mereka terlepas pandang.

Lihat Komen
ADS