Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam: SPRM teliti dakwaan anak Dr M - 'Bapa sasaran siasatan'

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki enggan mengulas dakwaan dua anak Dr Mahathir Mohamad kononnya bapa mereka adalah sasaran sebenar siasatan SPRM berhubung kewangan mereka.

Ketika dihubungi media, Azam berkata dia perlu melihat fakta terlebih dahulu berhubung dakwaan terbabit.

“Biar saya semak fakta dahulu, baru kami beritahu kamu (media),” katanya selepas menghadiri majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber yang disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini.

Azam mengulas dakwaan yang dibuat oleh Mokhzani dan Mirzan, yang memberitahu Bloomberg bahawa bapa mereka adalah sasaran sebenar rentetan siasatan SPRM.

Pada Januari lalu, SPRM mengarahkan Mokhzani dan abangnya, Mirzan untuk mengisytiharkan harta mereka sejak 1981, tahun yang sama Mahathir menjadi perdana menteri.

Kedua-duanya memang dikenali sebagai ahli perniagaan dan dikatakan memiliki kekayaan yang besar.

SPRM menyatakan siasatan dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan. Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Suruhanjaya itu menyatakan siasatan dimulakan pada Ogos 2022 terhadap semua entiti yang disebut dalam laporan Kertas Pandora dan Kertas Panama.

Pada masa itu, SPRM menjelaskan arahan itu adalah sebahagian daripada siasatan terhadap rekod perniagaan di luar pesisir yang didedahkan sebuah konsortium kewartawanan, namun tidak menyatakan yang Mahathir adalah sasaran utama.

SPRM menetapkan Februari lalu sebagai tarikh akhir untuk Mirzan dan Mokhzani membuat pengisytiharan, namun mereka memaklumkan diberi lanjutan sebayak dua kali.

Namun, kata mereka lagi, usaha untuk menyediakan rekod kewangan sejak era sebelum digital tetap sesuatu yang sukar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS