Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat lulus RUU Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024
Diterbitkan:  Mar 26, 2024 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024.

RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying setelah jawatankuasa mempertimbangkan usul dicadangkan itu tanpa sebarang pindaan.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membentangkan RUU tersebut yang bertujuan meminda Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Akta 370) melibatkan fasal 1 hingga fasal 12.

Antaranya fasal 9 bertujuan untuk meminda subseksyen 10a(1) Akta 370 bagi memperuntukkan bahawa daftar wang tak dituntut yang mengandungi butir-butir tentang wang tak dituntut yang dipegang oleh syarikat atau firma yang kekal tidak dibayar sehingga ke hari terakhir bulan Disember tahun yang sebelumnya hendaklah disiarkan melalui perantara elektronik atau secara penyampaian elektronik.

Fasal 10 pula bertujuan untuk meminda subseksyen 11(2) Akta 370 bagi mengurangkan tempoh wang tak dituntut yang dikreditkan ke Akaun Amanah Disatukan (setakat yang wang tak dituntut itu belum dibayar daripada Akaun Amanah Disatukan di bawah Bahagian II Akta 370) daripada 15 tahun kepada 10 tahun.

Pindaan yang dicadangkan bertujuan untuk membolehkan wang tidak dituntut dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan apabila luput tempoh 10 tahun dari tarikh wang itu dikreditkan ke Akaun Amanah Disatukan.

Sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, jumlah WTD yang akan dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan mencecah RM1.98 billion pada awal pelaksanaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS