Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS, PKR kecam insiden baling bom pada kedai KK Mart
Diterbitkan:  Mar 27, 2024 11:23 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

PAS menyifatkan kejadian membaling bom petrol ke premis KK Mart cawangan Bidor, Perak, awal pagi semalam sebagai satu perbuatan yang tidak boleh diterima akal dan wajar dikecam.

Ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari berkata tidak ada sebarang ruang boleh dibiarkan untuk perbuatan seperti itu menjadi norma dalam masyarakat atas apa jua alasan sekali pun.

“Undang-undang dan keadilan tidak boleh terlaksana melalui tangan sendiri secara individu kerana kita mempunyai kerajaan dan pihak penguat kuasa undang-undang yang diberikan hak di dalam perlembagaan.

“Saya rakamkan takziah dan simpati kepada pihak yang menjadi mangsa dalam insiden balingan bom petrol ini.

“Pada masa yang sama, menuding jari kepada mana-mana pihak juga merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam pihak polis mendedahkan kamera litar tertutup (CCTV) di cawangan KK Mart berkenaan merakam individu yang dipercayai dalang kejadian membaling bom petrol di kedai serbaneka terbabit.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata lelaki itu dilihat kira-kira jam 5.35 pagi di kaki lima berhampiran kedai dan turun dari kereta berwarna gelap yang mempunyai pelekat syarikat penghantaran.

Dia dilihat membaling botol kaca dipercayai mengandungi minyak tanah dan meninggalkan tempat kejadian sejurus selepas itu.

KK Mart menjadi tumpuan kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya.

KK Mart dan bekas pembekalnya telah memohon maaf atas perkara itu dan mendakwa mereka terlepas pandang.

Semalam, KK Mart, bekas pembekalnya Xin Jian Chang Sdn Bhd, dan pengarah bagi kedua-dua syarikat didakwa kerana sengaja melukakan perasaan agama.

Sementara itu Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata semua pihak bertanggungjawab dalam mengekalkan keharmonian di Malaysia yang berbilang kaum ini.

Tegasnya, sikap berlebihan dalam menangani isu ini mampu mempengaruhi individu-individu tertentu untuk bertindak ekstrem seperti insiden melontar bom petrol ke kedai KK Mart.

“Islam pada asasnya menjunjung keadilan yang dijalin dengan belas kasihan. Islam yang penuh hikmah dan kasih sayang menekankan ketinggian akhlak dan adab umatnya dan melarang kita bersikap melampau atau bertindak di luar lunas undang-undang seperti mengancam nyawa, menyebabkan kecederaan atau merosakkan harta benda.

“Kita seharusnya mengekalkan belas kasihan dan empati, bukannya menaikkan kemarahan atau kecaman sesama sendiri.

"Menyerahkan isu ini kepada pihak polis dan badan perundangan adalah langkah terbaik bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku.

“Kedaulatan undang-undang harus diutamakan dan saya percaya para pemimpin juga mempunyai kewajipan dalam memastikan perkara ini diutamakan,” katanya hari ini.

Tambah Nik Nazmi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga menegaskan agar isu ini dikendalikan mengikut lunas undang- undang.

Katanya, Anwar turut menjelaskan isu ini tidak boleh dibiarkan terus ‘meleret’ sehingga kerja-kerja penting tidak berjalan dengan baik.

“Sesuai dengan saranan perdana menteri, kita perlu memberikan ruang untuk undang-undang menghakimi individu-individu yang terbabit.

"Pada bulan yang mulia ini, saya percaya ia adalah masa yang sesuai untuk umat Islam menunjukkan contoh yang baik dalam menangani isu ini,” katanya yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Lihat Komen
ADS