Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen Johor tumpaskan sindiket 'pasport terbang'
Diterbitkan:  Mar 27, 2024 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan sindiket 'pasport terbang' yang didalangi dua lelaki warga asing dalam Op Serkap di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru pada 24 Mac lalu.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir, berkata lelaki warga Pakistan dan India yang masing-masing berumur 30 dan 35 tahun itu ditahan semasa menaiki sebuah kereta jenis Toyota Altis berdekatan bangunan terbabit kira-kira jam 6 petang.

Katanya tangkapan tersebut dibuat hasil risikan pihak berkuasa dan bantuan maklumat orang awam.

Menurut Baharuddin, sindiket memalsukan cap pas lawatan sosial dan lanjutan permit kerja itu menyasarkan kalangan warga asing dengan mengenakan bayaran antara RM650 hingga RM3,000.

“Sasaran utama sindiket itu ialah warga asing yang majoritinya dari Pakistan dan India yang mempunyai masalah permohonan lanjutan permit kerja dan pas lawatan sosial.

“Bagaimanapun, sindiket yang dipercayai aktif sejak 2022 itu tidak melibatkan bantuan warga tempatan setakat ini,” katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Dia berkata JIM Johor turut merampas lima pasport India dan enam Pakistan, selain wang tunai bernilai RM3,455, empat telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing berjumlah RM474 dalam operasi itu.

Baharuddin berkata lelaki Pakistan yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah disiasat mengikut Seksyen 56(1) (I) dan Seksyen 56(1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.

Lelaki India itu pula, katanya, disiasat mengikut Seksyen 56(1A) (b) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, mengenai Program Repatriasi Migran, Baharuddin berkata 1,321 pendatang telah mendaftarkan diri dengan warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 987 orang, diikuti India (100), Bangladesh (97), Pakistan (95) dan lain-lain termasuk dari Myanmar, Filipina dan Thailand serta negara Timur Tengah.

Katanya RM660,500 kompaun telah dikutip dengan 1,030 pendatang tanpa izin dihantar pulang setakat ini menerusi Terminal Feri Stulang laut, Terminal Feri Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Program yang dijalankan sepenuhnya oleh JIM tanpa penglibatan orang ketiga itu merupakan satu inisiatif kerajaan bagi memberi peluang kepada pendatang tanpa izin pulang ke negara mereka selepas tinggal melebihi masa, tiada pas atau permit sah dan melanggar syarat pas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS