Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwah bebas dakwa diugut, orang kuat Najib serah pada peguam

Selepas memfailkan saman Dis lalu, pendakwah bebas Ahmad Husam Muhamad Baderudin hari ini membuat laporan polis, dakwa diugut oleh dua orang kuat kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam laporan polis yang dibuat di Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini, Ahmad Husam mendakwa diugut pegawai khas kepada Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi dan bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), Zamil Ibrahim.

Melalui laporan polis berkenaan, Ahmad Husam mendakwa Zamil (gambar bawah) telah berjumpa dengan seorang bapa saudaranya yang dikenali sebagai "Pak Ndak" bertujuan memfitnah selain cuba memeras ugutnya.

"Pak Ndak telah menunjukkan kepada saya Whatsapp yang dihantar oleh Zamil kepada beliau yang mana saya difahamkan bahawa whatsapp itu telah dihantar oleh Mukhlis yang di dalam Whatsapp itu jelas menujukan beliau memeras ugut saya bagi memenuhi kehendak mereka.

"Antara ugutan beliau adalah jika kehendak mereka tidak dipenuhi beliau akan mengarahkan AMLA PDRM untuk menyiasat saya.

"Perkara ini sebenarnya sudah bermula sekitar Mei 2023 ketika mana Mukhlis menghubungi saya bahawa beliau kononnya telah dihubungi oleh pihak polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman untuk menyiasat yang kononya kes yang melibatkan saya berkaitan dengan AMLA dan beliau menyatakan bahawa kononnya dua pegawai Polis tersebut telah meminta wang penyelesaian kes sebanyak RM400,000.

"Saya enggan mengikut apa permintaan mereka itulah saya terus diganggu sehingga sekarang," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ahmad Husam turut menyertakan salinan laporan polis yang dibuatnya hari ini.

Gambar fail, Ahmad Husam bersama Najib Razak.

"Bukti serta segala rakaman perbualan telefon di antara saya Muhammad Mukhlis juga telah diserahkan kepada polis," tambahnya lagi.

Pada 27 Dis lalu, Ahmad Husam memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap empat individu, termasuk dua bekas pegawai Najib.

Saman itu dikemukakan terhadap Zamil Ibrahim yang juga bekas presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) dan serta bekas pegawai khas Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi.

Dua lagi defendan dalam saman itu ialah Ku Muhammad Khairul Amzar Ku Ahmad dan Mohd Fairus Shaari @ Mohd Fazil.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Zain Megat & Murad, pada 14 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Dalam kenyataannya hari ini, peguamnya Muhammad Asyraf Abd Aziz berkata saman itu difailkan berikutan notis tuntutan yang dikeluarkan pada 13 November tidak mendapat respons daripada defendan-defendan.

Husam selaku plaintif mendakwa Mukhlis dan Zamil menulis status di media sosial yang antaranya mendakwa dia seorang “ustaz scamer” dan penipu.

Sementara itu Zamil ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana kes berkenaan telah memasuki mahkamah.

Katanya, dia dan Mukhlis menyerahkan perkara itu kepada peguam mereka.

"Tiada komen lanjut, kes ini hampir setahun di mahkamah, saya hairan apa motif dia buat laporan polis sekarang.

"Kami serahkan kepada peguam kami, cuma kita rasa terkejut, apa yang dia gelisah dan gelabah sangat. Dia takut kata ada ugutan sekarang, itu bohong," katanya.

Lihat Komen
ADS