Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk KS Nallakaruppan berkata parti pembangkang itu berdepan dengan kemungkinan kehilangan pengaruh menjelang pilihanraya umum yang dijangka diadakan awal tahun depan, selepas kehilangan ratusan ahlinya kebelakangan ini.

"Saya bersimpati dengan parti dan para pemimpinnya, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tidak tahu bagaiamana mereka menanganinya selepas kehilangan ramai ahli dan pemimpin sejak beberapa bulan kebelakangan ini," katanya kepada malaysiakini.

"Parti itu nampak bakal mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum nanti," katanya.

Menurutnya, ahli parti itu perlu bertanya diri mereka sendiri mengapa semua ini berlaku dalam parti yang ditubuhkan pada 1999 untuk memperjuangkan pembebasan Anwar selepas dipecat dari kerajaan dan Umno dan kemudiannya dihukum penjara selepas didapati bersalah terhadap tuduhan salahguna kuasa dan liwat.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya menerima rayuan Anwar dan membatalkan sabitannya bagi tuduhan liwat.

"Adakah pemimpin dan ahli meninggalkan parti kerana Anwar gagal memimpinnya dengan baik? Adakah ia mencerminkan kepimpinan Anwar?" soal Nallakaruppan.

"Atau ia kerana mereka menyedari bahawa Anwar telah dipengaruhi orang-orang tertentu yang rapat dengannya?" tambahnya.

Nallakaruppan berkata, walaupun para pemimpinnya mengatakan parti itu dalam keadaan baik, tetapi hakikatnya ialah ramai pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi - yang menyertai parti itu sejak penubuhannya - telah telah meninggalkannya.

P emimpin yang terbaru meninggalkan PKR ialah bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan rakan karib Anwar, Ezam Mohd Noor, yang berkata, beliau meninggalkan parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap bekas mentornya itu.

Nallakaruppan sendiri keluar parti itu selepas merasakan dirinya telah dikhianati kerana mendakwa Anwar telah meminggirkan ahli dari kaum India dalam PKR.

Parti itu bagaimanapun berkata, ia tidak akan menghalang ahli-ahli yang tidak puashati, daripada meninggal parti itu serta menafikan parti itu menghadapi sebarang masalah. Malah, ia percaya, parti itu lebih kuat daripada sebelumnya dan mampu mencatatkan prestasi yang baik dalam pilihanraya umum nanti.

Nallakaruppan, bagaimanapun, mendakwa sentimen di peringkat akar umbi memberi gambaran yang berbeza, dengan "ahli-ahli berkata, parti itu nampaknya sudah kaku...mereka mahu tahu mengapa ahli-ahli keluar parti".

"Pemimpin PKR, khususnya Anwar, tidak harus terus berdiam diri. Anwar dan (naib presiden) Azmin Ali (foto) mesti menjawab secara terbuka terhadap dakwaan yang dibuat oleh mereka yang telah meninggalkan parti tersebut" katanya.

'Tuduhan tidak berasas'

Nallakaruppan juga mengingatkan beberapa pemimpin India dalam parti itu supaya berhenti melemparkan tuduhan tidak berasas terhadapnya.

Laporan sejak kebelakangan ini memetik mereka sebagai berkata, Nallakaruppan tidak berbuat apa-apa untuk parti tersebut.

"Anwar tahu jumlah ahli yang bawa masuk dalam parti. Bagi sesetengah pemimpin India berkenaan mempertikaikannya, menunjukkan mereka jahil mengenainya," jawabnya.

Katanya, Naib Presiden, R Sivarasa dan beberapa pemimpin lain baru-baru ini telah memujinya kerana jumlah ahli baru yang dibawanya masuk ke dalam parti.

"Adakah Anwar yang menghasut ahli-ahli politik yang belum matang ini supaya menyerang saya? Jika benar, maka saya perlu menjawab tuduhan-tuduhan tersebut bagi menjaga reputasi saya," katanya.

Anwar telah membawa Nallakaruppan menyertai PKR Ogos lalu dan memintanya supaya membantu menambah ahli baru dari kalangan masyarakat India.

Bagaimanapun, sejak meninggalkan PKR, penampilan Nallakaruppan tidak begitu ketara selain menyatakan beliau akan membuat pengumuman penting tidak lama lagi.

"Saya mahu para penyokong saya bersabar. Saya pasti berbuat sesuatu demi kebaikan masyarakat (India)," katanya tanpa mengulas lanjut. Berita asal