Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir 11j rakyat Malaysia sudah mendaftar di Padu
Diterbitkan:  Mar 31, 2024 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Menjelang penutupan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (Padu) pada tengah malam ini, jumlah rakyat yang sudah mendaftar setakat 12 tengah hari tadi meningkat kepada 10.8 juta.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin (gambar atas) berkata jumlah itu bersamaan 48.3 peratus daripada keseluruhan 21.96 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas.

Dia juga optimis sasaran 50 peratus rakyat berdaftar dengan sistem Padu mampu dicapai sebelum tempoh berkenaan berakhir.

Mohd Uzir berkata sebanyak 1,902 kaunter pendaftaran secara fizikal dibuka di seluruh negara sehingga pukul 5 petang ini melalui program kerajaan, agensi dan peringkat komuniti.

“Berdasarkan laporan yang kami terima, kebanyakan kaunter secara fizikal yang dibuka hari ini menerima limpahan kedatangan orang ramai yang ingin mendaftar Padu dan ini menunjukkan rakyat menerima baik inisiatif sistem ini.

“Setakat hari ini, antara negeri tertinggi jumlah pendaftaran Padu ialah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan yang melepasi sasaran 50 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata demikian dalam sidang media di program Lawatan Mesra Datuk Bandar dan pendaftaran Padu bersama Ketua Perangkawan Malaysia di Flat Seri Aman, Seksyen 22 Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu Mohd Uzir berkata sejak sistem Padu dilancarkan pada 2 Jan lalu ia terus berfungsi tanpa gangguan (downtime) biarpun berdepan aliran trafik pendaftaran yang tinggi.

Katanya antara bukti sistem berkenaan telah dibangunkan dengan baik ialah perkhidmatan pendaftaran serta proses kemas kini maklumat dapat dilakukan dengan lancar.

“Malah seperti yang kita uar-uarkan sebelum ini, sistem Padu selamat digunakan dan data yang disimpan juga selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata data yang disimpan dalam sistem Padu akan memudahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuat analisis dan bancian bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan.

Katanya ia juga akan dapat membantu kerajaan memperkenalkan polisi yang sesuai dengan keperluan rakyat.

Menurutnya DOSM memerlukan data yang bersifat dinamik untuk menjalankan analisis.

Bagi individu yang tidak mendaftar dengan sistem Padu, katanya, DOSM akan menggunakan data asas sedia ada.

Pendaftaran Sistem Padu berakhir tepat 12 tengah malam ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS