Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Saya tengok sendiri notis SPRM sebut siasatan ke atas Dr M
Diterbitkan:  Mar 31, 2024 4:12 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Notis SPRM yang dihantar kepada dua anak Dr Mahathir Mohamad jelas menyatakan bekas perdana menteri itu merupakan subjek siasatan, kata seorang lagi anak lelakinya, Mukhriz.

Tambahnya, notis itu ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

“Saya melihat notis yang ditandatangani sendiri oleh Azam Baki selaku ketua pesuruhjaya SPRM kepada kedua-dua abang saya Mirzan dan Mokhzani yang mana di awal notis itu menyebut bahawa siasatan dikenakan ke atas Mahathir.

“Kemudian diperlukan atau pun diarah kedua-dua abang saya ni untuk membuat pengisytiharan harta untuk membantu dalam siasatan," katanya seperti dipetik Malaya Daily.

Tambahnya, adalah membingungkan mengapa SPRM menyiasat anak kepada subjek sebenar siasatan mereka.

Sebelum ini, Mokhzani dan Mirzan memberitahu Bloomberg bahawa bapa mereka adalah sasaran sebenar siasatan SPRM.

Bagaimanapun, Azam menepis dakwaan itu, berkata dia perlu menyemak "fakta" sebelum mengulas kepada media.

Pada Januari, SPRM mengarahkan Mokhzani dan Mirzan mengisytiharkan harta mereka sejak 1981, tahun Mahathir menjadi perdana menteri.

Kedua-duanya diketahui aktif dalam dunia perniagaan dan terkenal mempunyai kekayaan yang besar.

Walaupun ia tidak mendedahkan sejauh mana ahli politik berusia 98 tahun itu disiasat, SPRM berkata siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Suruhanjaya itu berkata ia memulakan siasatan pada Ogos 2022 terhadap semua entiti berkaitan yang dinamakan dalam Kertas Pandora, serta Kertas Panama.

Dokumen berkenaan adalah sebahagian daripada siasatan ke atas rekod perniagaan luar pesisir yang didedahkan oleh konsortium kewartawanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS