Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sheikh Umar: Islam anjur seruan berhikmah, perbahasan bernas
Diterbitkan:  Mar 31, 2024 9:34 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Seorang pemimpin DAP menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi KK Mart baru-baru ini, yang menurutnya boleh membenihkan ekstremisme.

Ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menggalakkan seruan yang berhikmah, nasihat tauladan yang baik serta perbahasan yang bernas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Syeikh Umar berkata dia tidak ragu-ragu dengan hasrat Akmal untuk mempertahankan Islam daripada penghinaan, mengatakan ramai umat Islam berkongsi sentimen yang sama.

“Namun bagi saya, cara serta pendekatan beliau yang kadangkala bernuansa provokatif adalah tidak bertanggungjawab serta berlebihan.

"Ini bahaya. Atas nama 'mempertahan kesucian agama', tanpa disedari pendekatan beliau boleh membenihkan ekstrimisme. Ini bukan apa yang diajarkan oleh Islam," katanya.

Akmal menjadi antara yang lantang menggesa kempen boikot KK Mart selepas syarikat serbaneka itu menjual stoking tertera tulisan "Allah".

Kontroversi itu sehingga menyebabkan dua cubaan pengeboman di kedai KK Mart, satu di Perak dan satu di Pahang.

Walaupun Akmal telah mengecam tindak balas ganas itu, dia mengekalkan gesaan untuk memboikot KK Mart.

Sheikh Umar menegaskan bahawa pendekatan Akmal mungkin menyebabkan masyarakat Islam melakukan keganasan atas nama agama.

"Bagi saya Akmal mungkin tidak sedar bahawa setiap tindakan, kenyataan dan seruan berlebihan yang beliau keluarkan dalam isu ini nampaknya boleh memangkin lebih banyak tindakan-tindakan ganas luar jangka antara rakyat berbilang agama meskipun beliau tidak menginginkannya," katanya.

Tambahnya, ketua Pemuda Umno itu mesti mengambil iktibar daripada "amanat" Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 1981 ketika pemimpin PAS itu menyifatkan lawan politik mereka sebagai kafir dan perjuangan PAS menentang mereka sebagai jihad, selain mendakwa ahlinya akan syahid sekiranya mereka mati dalam perjuangan.

Sheikh Umar berkata tindakan seumpama itu membawa kepada perpecahan yang mendalam di kalangan umat Islam malah memecahbelahkan keluarga.

Justeru, katanya, Akmal mesti belajar mengutamakan keamanan.

"Tiada keperluan apa juga lagi kenyataan dikeluarkan Akmal khususnya selepas titah YDP Agong serta tindakan undang-undang diambil berhubung isu ini.

"Itu pun jika Akmal benar-benar ikhlas dan tidak mahu keadaan bertambah tegang bahkan menjadi lebih buruk dari apa yang sudah pun terjadi sekarang ini," katanya.

Lihat Komen
ADS