Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR: Akmal, jangan baling batu sembunyi tangan
Diterbitkan:  Apr 1, 2024 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Pemuda PKR menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh untuk mengambil tanggungjawab ke atas kecaman lantangnya kepada KK Mart.

Ketua penerangannya Nabil Halimi berkata ketegangan masyarakat mula disemarakkan menerusi gesaan Akmal agar orang Islam memboikot KK Mart, susulan penemuan stoking kalimah Allah di tiga cawangannya.

"Akmal, jangan lempar batu sembunyi tangan.

“Sudah kami tegaskan sebelum ini bahawa seorang pemimpin politik harus meredakan suhu api ketegangan kaum masyarakat kita yang majmuk, bukan sebaliknya.

“Namun, Akmal seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini dia masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini,” kata Nabil dalam kenyataan, hari ini.

Setakat ini, ada dua insiden kedai KK Mart dibaling bom petrol - di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang.

Akmal mengecam dua insiden itu namun kekal dengan pendirian agar kedai serbaneka itu diboikot.

Sementara itu Nabil menegaskan Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan.

“Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa.

“Pemimpin muda harus radikal menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukannya menjadi pemecah fabrik sosial negara ini yang sudah dibina dengan asas yang kukuh oleh bapa-bapa negara bangsa Malaysia,” katanya.

Justeru, katanya lagi, Pemuda PKR menggesa masyarakat agar kekal bertenang dan beri ruang dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan tugas mereka dalam menyelesaikan kes tersebut.

Lihat Komen
ADS