Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MUIS buat laporan polis berhubung dakwaan salah guna kuasa
Diterbitkan:  Apr 3, 2024 12:47 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat salah guna kuasa dalam pentadbiran badan itu.

Yang Dipertua MUIS Datuk Yahya Husin berkata laporan pada 28 Mac lepas itu dibuat untuk siasatan lanjut kerana tuduhan kepada pihak MUIS tidak berasas dan merupakan suatu fitnah.

"Pihak MUIS sentiasa terbuka terhadap sebarang proses siasatan oleh pihak berkuasa sama ada daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Hal ini untuk memastikan imej dan integriti MUIS dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa ada sebarang unsur salah guna kuasa seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yahya berkata Surat Tuntutan Peguam telah dihantar kepada penyebar tuduhan itu semalam yang antara lain isi kandungannya menuntut suatu permohonan maaf secara terbuka kepada pihak MUIS dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, beliau berkata saman akan difailkan serta-merta terhadap penyebar tuduhan terbabit bagi menuntut keadilan.

Baru-baru ini, tular dalam laman media sosial mengenai dakwaan seorang pegawai kanan MUIS telah membuat arahan pembayaran bonus kakitangan dengan menggunakan Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.

Dakwaan itu turut mengatakan bahawa pegawai kanan terbabit mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) sebanyak RM14 juta, juga tanpa proses kelulusan.

Dalam pada itu, Yahya berkata pembahagian wang zakat tahun lepas menunjukkan jumlah kutipan sebanyak RM141,181,101.74 yang dibahagikan kepada golongan asnaf sebanyak 91,060 penerima.

"Penerima terdiri daripada golongan fakir (41.1 peratus), fisabilillah (17.9 peratus), al-Riqab (17.6 peratus), golongan miskin (11.1 peratus), amil (sembilan peratus), mualaf (2.8 peratus), al-Gharimin (0.3 peratus) dan Ibnu Sabil (0.2 peratus)," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS