Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM arah menteri turun padang tinjau sara hidup rakyat

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan semua menteri supaya turun padang untuk melihat sendiri keadaan semasa termasuk isu berkaitan harga dan kuantiti barang keperluan di pasaran.

Ini berikutan maklum balas yang diterima Anwar daripada beberapa siri program yang dihadirinya, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil selepas mesyuarat kabinet, hari ini.

“Dalam mesyuarat hari ini perkara yang ditegaskan oleh perdana menteri adalah supaya menteri-menteri meluangkan lebih banyak masa untuk turun padang lihat sendiri keadaan termasuk dalam isu berkaitan sama ada harga barang ataupun kuantiti barang-barang yang ada di pasaran.

“Ini adalah susulan kepada maklum balas yang diterima oleh perdana menteri di siri program yang telah beliau hadiri dan penekanan ini juga diberi sebelum kita sambut Aidilfitri,” kata Fahmi pada sidang media di kementeriannya petang tadi.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, sebagai berkata pada mesyuarat itu Jemaah Menteri turut menegaskan kepentingan Sidang Kemuncak KL20 yang berlangsung dari 22 hingga 23 April ini untuk mengetengahkan aspek bagi syarikat pemula niaga terutama dalam bidang teknologi.

"Dalam masa terdekat, lebih banyak bahan promosi dan ruang akan diberikan untuk program KL20. Jemaah Menteri difahamkan akan ada beberapa pengumuman penting terutama bagi start-up scene. Jadi insya-Allah, selepas Aidilfitri akan ada siri pengumuman atau promosi yang akan diterajui Kementerian Ekonomi," katanya.

Beliau berkata Jemaah Menteri juga mengambil maklum Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan telah menyembah permohonan ampun kepada Seri Paduka Baginda.

"Jemaah Menteri juga maklum mengenai hantaran di Facebook Tuanku dan menjunjung kasih perkenan Tuanku menerima menghadap pengasas tersebut.

"Jemaah Menteri juga senada bahawa aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan dan disegerakan, mengambil maklum dan menjunjung titah Tuanku mengenai keperluan untuk menangani mereka yang cuba menghasut rakyat," katanya.

Ditanya kaedah menangani pihak yang menghasut rakyat termasuk penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta 747, Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS