Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pula pada 27 April.

Ini bermakna tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.

Tarikh-tarikh itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.

Ia diumumkan selepas mesyuarat di ibu pejabat SPR di Putrajaya pagi ini yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom dan Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak.

Mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu bawah parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun.