Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak wajar ambil tindakan undang-undang terhadap Aliff Syukri'

Seorang ahli persatuan Justice for Sisters berkata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) tidak wajar bersikap seperti polis moral dalam isu membabitkan klip video yang dihasilkan usahawan kosmetik, Aliff Syukri.

Thilaga berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya mengambil tindakan terhadap Aliff hanya kerana majoriti kurang senang dengan klip video berkenaan.

“Kita tidak boleh menghukum disebabkan suara-suara majoriti yang tidak selesa sebaliknya kita perlu ada alasan yang kukuh terhadap isu yang dibawa olehnya.

“Ia bukan suatu benda yang harus dihukum secara undang-undang atau harus disiasat melalui proses perundangan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Aliff baru-baru ini sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan klip lagu raya terbaru berjudul‘Love Raya’.

Klip video tersebut dimuat naik di media sosial miliknya dan mendapat kecaman ramai kerana memaparkan sekumpulan lelaki berperwatakan lembut menari dalam gaya tidak sopan.

Kelmarin, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta MCMC mengambil tindakan bersesuaian berhubung sedutan klip video tersebut.

Fahmi berkata dia mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial yang meminta tindakan diambil terhadap usahawan itu.

Semalam Fahmi berkata MCMC sudah merampas telefon bimbit milik Aliff Syukri untuk disiasat.

Harian Metro melaporkan turut disita ialah kad SIM milik ahli perniagaan dan personaliti dunia hiburan itu.

Menurut Fahmi, peranti dan kad SIM berkenaan juga telah diserahkan kepada unit forensik untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Thilaga berkata klip video tersebut meskipun mendatangkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, namun pihak berkuasa tidak wajar mengambil tindakan selagi ia tidak melanggar undang-undang.

“Video tersebut sememangnya menggelikan serta malu untuk ditonton tetapi masih tidak melanggar undang-undang.

“Saya rasa dalam situasi ni tindakan undang-undang atau siasatan daripada kerajaan mungkin tidak wajar dan tidak berpatutan selagi kandungan video tersebut tidak mendatangkan isu yang serius,” katanya.

‘MCMC tak perlu jadi polis moral’

Sementara itu, anggota Centre for Independent Journalism, Wathslah Naidu berkata klip video yang dimuat naik oleh usahawan itu tidak membawa sebarang kemudaratan melanggar standard atarabangsa.

“Dalam hal ini kita perlu melihat dari segi kesalahan yang dibuat sama ada mendatangkan bahaya atau membawa kepada kemudaratan. Kesilapan yang kita boleh lihat di dalam klip video tersebut ialah perilaku yang tidak sopan oleh penari-penari tersebut.

“Tetapi itu tidak bermakna SKMM perlu menjadi polis moral terhadap isu ini kerana Dato Aliff Syukri telah pun memadam video tersebut dan bagi saya ia masih belum sampai suatu tahap di mana pihak berkuasa harus bertindak.

“Menurut saya mungkin itu cara yang kreatif untuk dia menunjuk hasil seninya,” kata Wathslah.

Bagaimanapun katanya rakyat Malaysia berhak untuk mengkritik klip video berkenaan.

“Orang hendak kritik itu adalah hak mereka selagi tidak mengundang sebarang jenayah atau keganasan terhadap usahawan itu,” ulasnya lagi.

Lihat Komen
ADS