Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP dah bunyi macam MCA? Loke kata nak bersuara kena ikut 'saluran betul'
Diterbitkan:  Apr 5, 2024 9:54 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Prestasi ditunjukkan DAP sekarang ialah faktor yang membezakan antara parti itu dan MCA yang dahulunya seteru tetapi kini menjadi sekutu dalam kerajaan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Bercakap sebagai tetamu di podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Loke ditanya apakah DAP telah berkompromi dengan prinsipnya apabila berdepan dengan keputusan kontroversi membabitkan beberapa pemimpin Umno.

"Pertama, saya yakin prestasi kita lebih baik dari MCA. Yang keduanya ada perkara-perkara yang kita akan suarakan tetapi ada salurannya.

"Bukan kita tak nyatakan pendirian kita. Saya tak tau bagaimana MCA conduct themselves in government, tetapi bagi kita memang akan ada perkara-perkara yang kita akan direct dengan PM, tetapi ada cara. Apa yang membezakan dulu dengan sekarang, sekarang kita kerajaan bukan pembangkang," kata menteri pengangkutan itu.

Loke juga berkata dia memberitahu ahli DAP bahawa parti itu boleh membuat keputusan kolektif untuk menggantikannya dengan orang lain, jika mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.

Terdahulu, Khairy dan Shahril berkata MCA yang turut berada dalam kerajaan BN mengambil pendekatan serupa iaitu dengan memberikan alasan untuk menggunakan ‘saluran yang betul’ apabila didesak menyatakan pendirian mengenai beberapa isu.

Kedua-dua bekas pemimpin Umno itu merujuk keputusan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pengampunan diraja terhadap bekas presiden Umno Najib Razak. Ini menimbulkan persoalan sama ada DAP terpaksa berkompromi dengan prinsip mereka untuk kekal dalam kerajaan. .

Loke mengakui walaupun terdapat suara tidak senang dalam DAP mengenai kedua-dua keputusan berkenaan, ada kebimbangan lebih besar mengenai kesan sebarang tindakan untuk menarik balik sokongan 40 ahli parlimennya daripada kerajaan.

"Memang ada suara-suara yang tidak puas hati, tetapi adakah alternatif kita keluar dari kerajaan? Dan jika kita keluar dari kerajaan sekarang ini, apa yang berlaku? Kalau kata DAP 40 kerusi tarik sokongan, maksudnya kerajaan akan hilang majoriti ketika ini and you have to go back to the drawing board again.

"Adakah itu yang kita nak sebagai sebuah negara atau sebuah parti ketika ini? Jawapannya tidak. Dan saya yakin base kita juga tidak,” katanya.

Pada masa yang sama, Loke berkata apa yang penting pada masa ini adalah memastikan parti itu dapat memenuhi harapan penyokongnya dari segi urustadbir yang baik dan menentang rasuah.

Selepas PRU15, MCA dan MIC hanya tinggal tiga ahli parlimen di Parlimen dan tiada sebarang jawatan dalam kabinet di bawah kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS