Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konflik Iran-Israel: Kerajaan adakan mesyuarat khas petang ini

Kerajaan mengadakan mesyuarat khas pada pukul 6 petang ini, susulan serangan balas Iran terhadap Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata mesyuarat melibatkan menteri berkaitan berserta pegawai-pegawai kementerian terbabit dibuat bagi merangka beberapa langkah segera yang perlu diambil.

Anwar berkata ia antara lain akan menyentuh mengenai keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di negara-negara yang berkaitan.

"Ketegangan dan peperangan yang sekarang berlaku antara Iran dan Israel, berpunca daripada serangan kerajaan Zionis Israel ke atas bangunan konsulat Iran (di Syria) yang sebenarnya melanggar peraturan undang-undang antarabangsa dan pelanggaran selalunya mengundang tindak balas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr B.R.Ambedkar Kelima dan Sambutan Hari Kelahiran pakar ekonomi, reformis sosial dan pemimpin politik India itu yang ke-133 di Putrajaya, hari ini.

Media antarabangsa hari ini melaporkan Iran telah melancarkan serangan misil dan dron ke atas Israel.

Anwar berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan mengenai jaminan penyelesaian dan kedamaian terhadap konflik di Timur Tengah yang perlu dituntut di peringkat antarabangsa.

“Ini kerana apa yang berlaku di sana (serangan dan peperangan Iran dan Israel) akan menjejaskan keamanan dan ekonomi dunia,” katanya.

Sementara itu ketika mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang menganggap ada menteri kabinet yang ‘bodoh’, Perdana Menteri berkata kenyataan itu tidak bersesuaian dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

"Saya tidak layan kenyataan yang sedemikian, tidak sesuai dalam konteks Kerajaan Perpaduan. Kita sepatutnya bekerjasama,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS