Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tembakan di KLIA: Foto suspek diedar ke pintu masuk negara

Polis telah mengedarkan foto suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi semalam ke semua pintu masuk negara di utara tanah air dan pihak berkuasa negara jiran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata arahan itu dikeluarkan sebaik sahaja pihaknya berjaya mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian tersebut yang menyebabkan seorang pengawal peribadi cedera parah.

Beliau berkata pihaknya turut memperketatkan kawalan di lorong tikus di sempadan negara bagi mengelakkan suspek yang dikenal pasti sebagai Hafizul Harawi, 38, meloloskan diri ke negara jiran.

Menurutnya Hafizul dipercayai masih berada di dalam negara dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan.

“Saya percaya dengan kecekapan anggota saya, Hafizul akan ditangkap dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata siasatan awal pihaknya turut mendapati suspek menggunakan pistol separa automatik berkaliber sembilan milimeter semasa kejadian tersebut.

“Polis menemukan tiga kelongsong peluru di tempat kejadian yang satu daripadanya tidak meletup, kami (polis) mengesyaki Hafizul memperoleh pistol berkenaan dari negara jiran,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata polis telah melancarkan operasi mengesan lelaki itu selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejakinya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS