Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kebakaran kali kedua pusat lupus sisa toksik di Sendayan membimbangkan'
Diterbitkan:  Apr 15, 2024 6:22 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Insiden kebakaran kali kedua di Pusat Pelupusan Sisa Berjadual Kualiti Alam di Sendayan Negeri sembilan baru-baru ini menunjukkan sikap sambil lewa kerajaan negeri dalam mengelakkan kejadian sama berulang.

Ketua Pembangkang Negeri Sembian, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, kejadian itu amat membimbangkan memandangkan lokasi itu berdekatan kawasan kediaman Kampung Sendayan, Kampung Gadong dan beberapa taman perumahan.

"Insiden berulang jelas menunjukkan sikap sambil lewa kerajaan negeri dalam menangani isu ini.

"Perikatan Nasional Negeri Sembilan menzahirkan kebimbangan berkenaan perkara ini dan menggesa kerajaan negeri memastikan perkara ini tidak berulang di masa hadapan," katanya dalam kenyataan.

Tempat logistik simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan 100 x 100 kaki persegi di Pusat Kualiti Alam itu dilaporkan terbakar sepenuhnya pada 12 April lalu.

Susulan kejadian itu Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Luar, Mohamad Hasan menggesa pihak berkuasa alam sekitar melakukan audit keselamatan ke atas syarikat menguruskan pusat pelupusan sisa toksik berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Hanifah berkata syarikat terbabit perlu mengambil tindakan dan meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat.

Dalam masa sama dia juga mengulangi saranan Mohamad Hasan agar audit keselamatan dijalankan.

"Kerajaan Negeri Sembilan, melalui agensi yang berkaitan perlu mengambil tindakan tegas dengan menjalankan audit keselamatan di pusat sisa toksik ini dan mengkaji semula kesesuaian lokasi pusat pelupusan sisa toksik ini,"tegasnya.

Lihat Komen
ADS