Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jarak McD pelanggan diugut dan KK Mart diserang hanya 100m
2

Terdapat kira-kira sepuluh buah cawangan kedai serbaneka KK Mart dan lima restoran makan segera McDonald's di Kuantan.

Bagaimanapun, dua insiden ganas di premis cawangan dua perniagaan ini berlaku pada jarak 100 meter antara satu sama lain.

Ketika dihubungi, polis memaklumkan pihak berkuasa tidak menyiasat insiden itu sebagai kejadian berkaitan.

Pada 30 Mac, sebutir bom molotov dilemparkan ke cawangan KK Mart di Sungai Isap, Kuantan dikatakan sebagai tindak balas kemarahan terhadap kontroversi isu stoking yang tertera kalimah “Allah”.

Tiada suspek ditahan dalam kes serangan terhadap KK Mart setakat ini.

Pada malam Jumaat lalu, hanya seminit berjalan kaki dari KK Mart yang diserang itu, sekumpulan kecil penunjuk perasaan mengadakan bantahan boikot terhadap McDonald’s.

Perbualan di kumpulan media sosial Kuantan menunjukkan rasa tidak puas hati bahawa orang Islam sudah kembali makan di McDonald selepas tujuh bulan gerakan boikot dilancarkan terhadap francais makanan segera berhubung serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Sebuah video di Facebook - dilaporkan dari malam Jumaat lalu - menunjukkan perkumpulan menaiki belakang trak pikap dan diiringi dua motosikal, mengelilingi cawangan McDonald Sungai Isap sambil mengibarkan bendera Palestin.

Satu lagi video menunjukkan kumpulan itu mengejek mereka yang beratur di pandu lalu McDonald’s, memanggil mereka "bodoh."

Pada malam sama, seorang lelaki yang pergi ke McDonald's bersama keluarganya didakwa diejek oleh sekumpulan individu.

Polis berkata lelaki itu pada mulanya tidak mengendahkan kumpulan berkenaan tetapi kemudian apabila meninggalkan premis itu, dia diejek lagi.

"Pengadu cuba menghindari mereka dengan masuk kembali ke dalam premis McDonald’s namun selepas keluar untuk pulang ke rumah, kumpulan lelaki itu sekali lagi melakukan provokasi terhadap pengadu.

Tiada petunjuk baru kes KK Mart

“Ketika pengadu hampiri kumpulan lelaki berkenaan, salah seorang daripadanya capai topi keledar lalu diberi kepada kawannya dan lelaki itu ugut akan pukul pengadu namun situasi itu dileraikan isteri pengadu,” maklum Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu seperti dipetik Kosmo Online.

Laporan polis yang dibuat mangsa setakat ini membawa kepada penahanan lima suspek yang masing-masing bekerja sebagai jurubank, jurujual kereta, kontraktor, ahli perniagaan dan anggota tentera.

Zahari berkata seorang daripada suspek mengaku mengugut pengadu manakala empat lagi hanya mengaku hadir di lokasi.

Tidak jelas sekiranya kumpulan yang terlibat dalam ancaman itu juga adalah kumpulan yang sama yang dirakam mengelilingi kedai McDonald's.

Kaitan antara kejadian di McDonald's dan pengeboman api KK Mart juga belum dapat dipastikan lagi.

Ketika dihubungi, Wan Mohd Zahari berkata setakat ini kelima-lima suspek tidak disiasat berhubung serangan KK Mart.

“Setakat ini, lima suspek hanya terlibat dalam kes McDonald’s,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga memaklumkan tiada petunjuk baharu dalam kes KK Mart buat masa ini.

Laporan tambahan oleh Shahrin Aizat Noorshahrizam.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
2
ADS