Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertandingan Pakaian Beragam Janda-janda Temerloh dibatalkan

Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh yang dijadualkan pada 21 April ini di sebuah pusat karaoke dekat Taman Tasik Chatin, dekat Mentakab, Pahang dibatalkan.

Perkara itu dimaklumkan penganjur pertandingan yang dikenali sebagai 'Uncle John' melalui satu pesanan suara menggunakan aplikasi WhatsApp malam tadi. 

Dia berkata, keputusan membatalkan pertandingan itu dibuat selepas dinasihatkan oleh ahli parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor. 

"YB (Yang Berhormat) ahli parlimen Temerloh ada menghubungi saya petang tadi dan meminta supaya program berkenaan dibatalkan kerana boleh mencetuskan ketidakselesaan awam. 

"Saya akui kekhilafan pihak saya selaku wakil penganjur dan memohon maaf atas kesilapan ini," katanya. 

Difahamkan, poster pertandingan itu disebarkan menggunakan aplikasi WhatsApp sejak awal semalam. 

Aduan kepada pejabat agama

Sementara itu, Salamiah melalui perkongsian di laman sosial Facebook miliknya memaklumkan pihaknya sudah membuat bantahan rasmi kepada pejabat agama Islam daerah Temerloh berkaitan penganjuran pertandingan berkenaan. 

"Bantahan ini dibuat kerana pertandingan yang dibuat dan disebarkan secara terbuka dengan tujuan tidak bermoral ini telah mendatangkan ketidakselesaan orang awam," katanya. 

Salamiah Mohd Nor

Selain itu, dia berkata, penganjuran pertandingan terbabit secara terang-terangan menyalahi undang-undang agama Islam dan boleh mengundang pelbagai bentuk fitnah. 

Salamiah turut berharap tindakan tegas diambil pihak pejabat agama Islam daerah Temerloh bagi memastikan budaya kurang sopan itu tidak merebak di daerah berkenaan.

Lihat Komen
ADS