Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empangan bawah tanah: Kedah akan hantar pasukan teknikal ke Jepun

Kerajaan Negeri Kedah akan menghantar pasukan teknikal ke Jepun bagi meninjau operasi empangan air bawah tanah di negara itu berikutan cadangan membina empangan sama di Langkawi.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata cadangan membina empangan bernilai lebih RM300 juta itu telah diluluskan di peringkat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.

"Model ni ada di Jepun... Kalau jadi di Langkawi, ia yang pertama di Malaysia. Banyak di Jepun, di pulau-pulau mereka gunakan (empangan bawah tanah).

"Menurut konsultan Jepun yang cadang tu, (di Langkawi) sesuai dibina kerana ada hamparan batu tepi dan bawah, sungai di atas, cuma kita perlu sekat sikit saja untuk jadikan empangan bawah tanah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini.

Sebelum ini, Kedah telah mengemukakan cadangan penerokaan sumber air bawah tanah sebagai alternatif bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih di negeri ini.

Pada awal Mac lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata agensi kerajaan sedang membuat kajian dan akan melaksanakan projek perintis empangan air bawah tanah di Padang Mat Sirat, Langkawi.

Kedah mempunyai enam empangan utama yang membekalkan bekalan air mentah kepada sektor domestik, industri serta pertanian iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda, Empangan Ahning, Empangan Beris, Empangan Bukit Malut dan Empangan Padang Saga.

- Bernama

Lihat Komen
ADS