Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gabungan PSM-Muda mungkin letak calon di Kuala Kubu Bharu

PRK KKB | Kerjasama Parti Sosial Malaysia (PSM) dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mungkin menyaksikan mereka meletakkan calon untuk cuba merampas kerusi Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, mengesahkan bahawa partinya sedang mengadakan perbincangan dengan Muda untuk melihat kemungkinan bertanding di situ.

"Benar, kami sedang berbincang dengan Muda dan mungkin bertanding di PRK.

"Kalau semuanya nampak bagus, mungkin salah satu parti akan bertanding dan satu parti lagi akan membantu kempen," katanya.

Namun, menurut Arutchelvan, perbincangan itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan dibuat.

Dia berkata demikian ketika diminta mengenai kemungkinan PSM menyertai pertandingan di Kuala Kubu Bharu bersama parti dari blok kerajaan dan PN.

Tambah Arutchelvan sekiranya ada persetujuan dicapai, maka gabungan PSM dan Muda akan menjadi blok ketiga menurunkan calon di situ.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Lee, 58, yang menjadi Adun KKB sejak 2013, mengekalkan kerusi itu untuk PH pada pilihan raya negeri tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundia diadakan pada 11 Mei.

Tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.

Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu (51%), Cina (30%) dan India (18%) serta lain-lain (1%).

Seramai 40,226 pengundi layak mengundi pada PRK ini.

Daripada jumlah itu, seramai 39,362 ialah pengundi biasa, 238 anggota tentera dan pasangan, 625 anggota polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Lihat Komen
ADS