Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan kerajaan di KKB langgar etika pilihan raya - Bersih
Diterbitkan:  Apr 19, 2024 12:56 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

PRK KKB | Peruntukan sebanyak RM5.21 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kuala Kubu Bharu semalam melanggar etika pilihan raya, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Jawatankuasa pemandu Bersih berkata pihaknya mengambil serius pengumuman Menteri KPKT Nga Kor Ming menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN berkenaan pada 11 Mei ini.

"Bersih melihat pengumuman ini telah melanggar garis panduan Larangan 3C: No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) yang telah digariskan Bersih sejak Pilihan Raya Negeri 2023.

"Seperti dilaporkan media, Nga turut menyeru penduduk balik kampung dan meminta mengundi parti yang “baik, prihatin, progresif” walaupun tidak menyebut mana-mana parti politik dalam kerajaan.

"Peruntukan khusus kepada KKB ini dilihat telah melanggar prinsip “tidak berkempen” yang mengaitkan peruntukan kerajaan dengan sokongan politik.

"Tindakan ini juga boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dan menggunakan pengaruh yang tidak wajar kerajaan terhadap pengundi KKB yang bakal mengundi pada 11 Mei depan," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Semalam, Nga mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.21 juta di bawah program Sentuhan Kasih KPKT di KKB.

Peruntukan itu disalurkan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Persatuan Bomba dan rumah ibadat bukan Muslim.

Mengulas lanjut, Bersih mendesak kerajaan menghentikan amalan tidak beretika ini yang bercanggah dengan prinsip persaingan politik atas padang yang rata dalam pilihan raya.

"Sekali lagi Bersih menegaskan supaya diwujudkan sebuah garis panduan yang menyeluruh terkait etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya yang bermula sebaik sahaja pembubaran Parlimen/DUN atau kekosongan kerusi.

"Ini perlu dikanunkan sebagai undang-undang supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman peruntukan dan dasar kerajaan yang diamanahkan rakyat.

Katanya, Bersih juga akan menghantar pemantau pilihan raya bagi memantau keseluruhan proses pilihan raya kecil berknaan agar tidak berlaku sebarang bentuk kesalahan pilihan raya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Lee, 58, yang menjadi Adun KKB sejak 2013, mengekalkan kerusi itu untuk PH pada pilihan raya negeri tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian diadakan pada 11 Mei.

Tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.

Lihat Komen
ADS