Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong zahir takziah, titah ATM jalankan siasatan terperinci
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 1:31 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pagi ini.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu.

“Saya dan Raja Zarith Sofiah berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Sultan Ibrahim.

TLDM mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook, berkata negara berdukacita dengan tragedi menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan insiden dua helikopter TLDM yang terhempas di Lumut, Perak pagi ini.

Katanya, tragedi itu ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dan berdoa agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi musibah itu. 

“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas.

“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di sisi-Nya,” kata Anwar. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS